Azalina Othman Said.
Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan penyedia platform media sosial bagi memperhalusi cadangan menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 tahun kepada 16 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata setiap negara mempunyai budi bicara tersendiri dalam menetapkan had umur tersebut.
“Saya percaya perkara ini telah dibincangkan oleh Jemaah Menteri. Had umur yang dicadangkan adalah 16 tahun ke bawah, namun kerajaan akan berbincang lanjut dengan platform media sosial,” kata Azalina semasa ditanya wartawan selepas majlis penyerahan projek pembinaan Mahkamah Pengerang di Bandar Penawar hari ini.
Beliau menambah kerjasama erat dengan syarikat-syarikat teknologi adalah penting bagi memastikan perlindungan efektif buat pengguna muda.
“Kerjasama dengan penyedia platform amat penting supaya pelaksanaan dasar dapat memberi perlindungan kepada golongan muda daripada terdedah kepada kandungan berbahaya,” tegas Azalina.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kepada Akta Online Harms atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang dirangka bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai mekanisme sokongan.
“Perkara yang baiknya, kita sudah mempunyai Online Harms Act. Pelaksanaan akta ini akan memperkukuh pemantauan terhadap platform media sosial apabila diarahkan oleh kerajaan,” ujarnya.
Cadangan untuk menaikkan had umur ini, yang pertama kali dikemukakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, didorong oleh kebimbangan terhadap pendedahan kandungan tidak selamat dan insiden membimbangkan yang melibatkan pelajar sekolah.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan, kaedah pendaftaran pengguna juga dijangka melibatkan pengesahan melalui dokumen rasmi kerajaan bagi memastikan ketepatan maklumat.
Saifuddin: Polis buka kertas siasatan, dakwaan Ismail dipaksa jadi perhatian
DKU: Tuanku Muhriz kekal bertakhta, proklamasi penurunan tak sah
FGV lantik firma audit bebas, semak isu tadbir urus
Saifuddin mahu elaun RELA RM8 disemak segera
Lawatan sulung PMX ke Maldives beri momentum baharu hubungan dua hala: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum