Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Hadi Awang mendakwa isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan pihak lawan, sedangkan tindakan terhadap salah laku sepatutnya berlandaskan undang-undang.
Dalam ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Hadi berkata politik berintegriti perlu menjunjung kedaulatan undang-undang, keadilan serta bebas daripada campur tangan berkepentingan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tidak sepatutnya dibuat secara terpilih dengan hanya menyasarkan pihak tertentu.
“Malangnya di Malaysia, isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.
“Keadaan ini berlaku apabila tindakan diambil secara terpilih terhadap pihak lawan, sedangkan salah laku dalam kalangan sendiri dibiarkan, sama ada melibatkan penerima rasuah, pemberi rasuah mahupun perantara yang mengatur urusan rasuah,” katanya.
Hadi pada masa sama mengakui berlaku kepincangan dalam pengurusan dana awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun menegaskan perkara itu perlu diselesaikan melalui proses perundangan jika terdapat bukti mencukupi.
Katanya, isu berkaitan pengurusan dana awam tidak wajar dijadikan bahan perdebatan politik atau kempen pilihan raya semata-mata untuk membentuk persepsi terhadap pihak tertentu.
“Tidak dinafikan berlakunya kepincangan dalam pengurusan dana awam dan GLC, yang amat kita kesali, dan perlu dibawa ke mahkamah apabila cukup bukti, bukannya dibicarakan di media ataupun di pentas politik, apatah lagi menjadi bahan kempen pilihan raya untuk mencipta persepsi buruk seperti isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH),” katanya.
Isu TH kembali menjadi perhatian selepas laporan RCI berkaitan pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan kepada umum.
Laporan berkenaan antara lain menyentuh kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta isu pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan kemerosotan nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.
Dalam ucapan sama, Hadi turut menyentuh kedudukan Islam dan umat Islam di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Lebih membimbangkan, kedudukan Islam dan umatnya berada dalam keadaan paling berbahaya apabila berada dalam pemerintahan kerajaan PH yang dikuasai oleh kumpulan bukan Islam dan menjadi ancaman kepada maqasid al-syari’ah.
“Maka, tindakan bertujuan menolak kemudaratan yang besar hendaklah diutamakan,” katanya.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum