Harga minyak dunia naik menjelang pertemuan Trump-Jinping

May 14, 2026 · Isu semasa

Harga minyak dunia meningkat sedikit ketika pelabur menunggu hasil pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping di Beijing, di tengah-tengah ketegangan berterusan melibatkan Iran dan laluan perdagangan minyak global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 13 sen kepada AS$105.76 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat 12 sen kepada AS$101.14 setong.

Kenaikan kecil itu berlaku selepas kedua-dua penanda aras minyak mencatat kejatuhan pada Rabu susulan kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan AS menaikkan kadar faedah sekali lagi, yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan permintaan tenaga dunia.

Trump tiba di Beijing pada Rabu malam bagi mengadakan beberapa siri rundingan dengan Jinping yang dijangka tertumpu kepada hubungan perdagangan, isu Taiwan dan konflik Iran yang semakin meruncing.

Walaupun Trump sebelum ini menyatakan tidak memerlukan bantuan China untuk menamatkan perang Iran, penganalisis percaya Washington masih memerlukan pengaruh Beijing bagi meredakan ketegangan di Asia Barat, terutama berkaitan keselamatan laluan minyak di Selat Hormuz.

Penganalisis IG, Tony Sycamore berkata kegagalan mencapai penyelesaian diplomatik boleh meningkatkan risiko ketenteraan di rantau itu.

“Jika gagal mencapai kemajuan bermakna untuk membuka semula selat itu, AS mungkin tidak mempunyai banyak pilihan selain melancarkan semula tindakan ketenteraan,” katanya.

Selat Hormuz merupakan laluan penting perdagangan minyak dunia dengan hampir satu perlima bekalan minyak global melalui kawasan itu setiap hari.

Sebarang gangguan dijangka memberi kesan besar kepada harga minyak dan ekonomi dunia.

Iran dilaporkan memperketat kawalan di selat berkenaan selain memperluaskan kerjasama tenaga dengan Iraq dan Pakistan bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG).

Dalam masa sama, China kekal sebagai pembeli utama minyak Iran walaupun berdepan sekatan AS.

Lebih 80 peratus eksport minyak Iran tahun ini dilaporkan dihantar ke China, dengan syarikat penapisan bebas negara itu mengambil peluang membeli minyak Iran pada harga lebih murah akibat sekatan Washington.

Pasaran kini menunggu sama ada pertemuan Trump dan Jinping mampu meredakan ketegangan geopolitik yang terus mempengaruhi pergerakan harga minyak global.

Berita berkaitan
Kerajaan sanggup tanggung subsidi minyak demi rakyat: PMX
October 24, 2026· Isu semasa
KPDN tunggu analisis 27 sampel petrol disyaki bercampur air
October 18, 2026· Isu semasa
Harga RON97, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen seliter mulai esok: Bernama
October 7, 2026· Isu semasa
Malaysia terus terbuka pelaburan teknologi China: Anwar
September 24, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
PMX arah isu e-dagang ditangani segera
9 jam lalu · Isu semasa
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
10 jam lalu · Isu semasa
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
10 jam lalu · Isu semasa
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
10 jam lalu · Isu semasa
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
11 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok