Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia supaya menghentikan pertelingkahan berkaitan isu bahasa yang sering mengheret sentimen kaum, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem pendidikan demi masa depan generasi muda yang lebih bersatu dan berdaya saing.
Perdana Menteri menyifatkan perdebatan berpanjangan mengenai bahasa tidak membawa manfaat jika kualiti pendidikan anak-anak terus terabai.
Menurutnya, keutamaan negara ketika ini ialah melahirkan pelajar yang berilmu, berfikiran terbuka dan mampu bersaing di peringkat global.
“Tumpuan kita adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Malaysia.
“Penguasaan Bahasa Melayu yang baik kekal sebagai keutamaan negara, tetapi pada masa yang sama penguasaan Bahasa Inggeris juga penting supaya kita tidak ketinggalan dalam persaingan dunia,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan semua aliran sekolah mendapat perhatian yang adil, termasuk SJKC, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil serta sekolah kebangsaan yang menawarkan subjek bahasa tambahan.
Menurut beliau, penguasaan bahasa ibunda seperti Cina, Tamil dan Arab wajar diperkukuh selari dengan dasar pendidikan negara yang inklusif.
“Kita mahu anak-anak ini fasih dalam bahasa kebangsaan, tidak lemah dalam bahasa antarabangsa, dan pada masa sama tidak terputus daripada akar budaya masing-masing,” katanya lagi.
Mengulas cabaran masa depan, Anwar menekankan kepentingan penguasaan awal dalam bidang Sains, Matematik, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, pendedahan awal dalam bidang tersebut amat penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja relevan di pasaran kerja tempatan, malah mampu bersaing di peringkat ASEAN dan global.
Kenyataan itu hadir ketika isu bahasa kembali menjadi perdebatan awam kebelakangan ini, sekali gus mendorong kerajaan menekankan pendekatan lebih rasional dan berorientasikan masa depan, dengan pendidikan sebagai teras utama perpaduan nasional.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib