Ahmad Fauwaz Fadzil.
Perbuatan menghidangkan atau menonjolkan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan telah ditegaskan sebagai suatu perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak, moral dan undang-undang negara.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil memberi respons kepada polemik terkini berkenaan isu tersebut dengan menekankan Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak, malah melarang sebarang bentuk kerjasama dan penglibatan dengannya.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan Hab Halal Dunia, tindakan sebegini dilihat mencemarkan imej negara serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Arak atau khamar merupakan antara isu sensitif yang sering menjadi tumpuan masyarakat. Pengharamannya dalam Islam adalah muktamad dan jelas,” jelas Ahmad Fauwaz dipetik laporan Sinar Harian.
“Persoalan ini tidak hanya melibatkan aspek syarak semata-mata, tetapi turut menyentuh soal adab, moral, norma masyarakat dan imej negara di mata dunia,” tambahnya lagi.
Isu ini tercetus ekoran kenyataan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang mendakwa minuman beralkokol dihidangkan dalam suatu majlis makan malam gala Kementerian Pelancongan.
Namun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan majlis makan malam berkenaan adalah inisiatif pihak industri dan swasta, bukan di bawah tanggungjawab langsung Tourism Malaysia.
Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz menekankan tiga prinsip utama yang perlu dipatuhi dalam penganjuran mana-mana majlis yang melibatkan agensi kerajaan atau identiti negara.
Pertama, makanan dan minuman yang dihidangkan mestilah mendapat pengesahan halal daripada Jakim atau JAIN.
“Seterusnya, penganjuran majlis yang menghidangkan arak tidak boleh melibatkan sebarang logo, lambang atau label kerajaan mahupun negara.
“Selain itu, majlis sedemikian mestilah berlangsung secara tertutup dan tidak disiarkan secara terbuka bagi memelihara sensitiviti agama dan norma sosial,” ujarnya.
“Oleh itu, semua pihak dinasihati agar menghormati Perlembagaan Persekutuan, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti umat Islam demi memelihara keharmonian serta perpaduan nasional,” tegasnya lagi.
Ringgit terus mengukuh, pasaran tunggu data KDNK suku pertama
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan