Hutang 1MDB belum selesai, kerajaan masih menanggung: Anwar

October 19, 2026 · Politik

Kerajaan masih menanggung hutang dan obligasi kewangan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan jumlah hutang negara perlu dilihat dalam konteks pembayaran komitmen lama yang masih berjalan, termasuk bayaran prinsipal dan faedah hutang 1MDB.

Beliau menegaskan dakwaan semua hutang berkaitan 1MDB sudah dilangsaikan tidak tepat kerana kerajaan masih perlu memenuhi tanggungan kewangan berkenaan.

“Ada yang menyatakan hutang 1MDB, semua sudah dibayar. Saya tidak tahu kitab mana yang dibacanya. Tak betul,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bertanggungjawab menguruskan hutang sedia ada sambil memastikan pinjaman baharu dibuat mengikut keperluan ekonomi dan kemampuan kewangan negara.

“Kerajaan yang bertanggungjawab bermakna hanya membuat pinjaman mengikut keperluan untuk menguruskan ekonomi.

“Namun, kita perlu sentiasa merancang lebih awal dan tidak seharusnya membebankan generasi akan datang untuk menanggung perbelanjaan berlebihan pada masa ini,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion setakat 31 Ogos 2026 bagi memenuhi komitmen berkaitan 1MDB, merangkumi pembayaran balik prinsipal, faedah, yuran guaman dan kos operasi.

MOF turut memaklumkan kerajaan masih berdepan baki obligasi RM20.1 bilion sekiranya tiada dana tambahan berjaya diperoleh pada masa depan.

Pada Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan masih bertanggungjawab terhadap Nota Jangka Sederhana Islam yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.

Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan tindakan perundangan serta kerjasama antarabangsa bagi mendapatkan semula aset 1MDB yang diselewengkan, sekali gus mengurangkan beban kewangan negara.

Dalam masa sama, strategi pengurusan hutang kerajaan memberi tumpuan kepada kawalan pertambahan hutang, pengukuhan kedudukan fiskal dan pembinaan semula penampan kewangan.

Kerajaan juga berusaha menggembleng lebih banyak modal swasta untuk membiayai pembangunan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman awam tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kepada rakyat.

Kes 1MDB menjadi antara skandal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia, dengan dana yang diselewengkan mencetuskan siasatan dan tindakan undang-undang di beberapa negara.

Walaupun sebahagian dana dan aset berjaya dipulihkan, kerajaan masih perlu memenuhi komitmen kewangan yang berkaitan dengan hutang dan jaminan kerajaan.

Berita berkaitan
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
12 jam lalu· Politik
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
12 jam lalu· Isu semasa
SPRM tahan penjawat awam terbabit kes rasuah RM30 juta libat cukai taksiran
October 21, 2026· Isu semasa
Mahfuz pertahan mahasiswa bersuara, kritik pemimpin taksub politik
October 21, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
4 jam lalu · Politik
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
11 jam lalu · Politik
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
11 jam lalu · Politik
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
12 jam lalu · Politik
PRN Melaka: PAS sedia guna lambang bulan selepas PN dibatalkan RoS
16 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok