Menteri Luar, Mohamad Hasan.
India menawarkan kepada Malaysia kemudahan untuk menyelenggara dan membaik pulih enjin pesawat pejuang Sukhoi di negara itu, ketika Malaysia berdepan kekangan mendapatkan perkhidmatan sama dari Russia akibat sekatan kewangan antarabangsa.
Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata perkara itu dipersetujui hasil perbincangan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke Malaysia hujung minggu lalu.
India dilihat mempunyai kelebihan kerana mengoperasikan banyak pesawat Sukhoi selain berupaya menghasilkan alat ganti sendiri.
“Kita ada masalah untuk hantar peralatan ganti atau selenggara enjin Sukhoi di Russia kerana sekatan Amerika Syarikat menyebabkan sistem pembayaran biasa tidak boleh digunakan.
“Sekarang India beri peluang untuk kita lakukan kerja MRO di sana,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, Malaysia, India dan Vietnam berkongsi persamaan dari segi aset pertahanan udara, sekali gus membuka ruang kerjasama teknikal yang lebih luas.
Langkah ini juga penting bagi memastikan kesiapsiagaan operasi Tentera Udara Diraja Malaysia terus berada pada tahap optimum.
Dalam perkembangan sama, hubungan perdagangan Malaysia–India terus kukuh dengan Malaysia mencatat lebihan dagang kira-kira AS$19 bilion.
India banyak mengimport minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta semikonduktor dari Malaysia, manakala Malaysia pula mengimport barangan industri dari India.
“Kita bukan lagi sekadar bercakap tentang mengeratkan hubungan, tetapi bagaimana untuk memperkasakan kerjasama dalam perdagangan, keselamatan dan keselamatan siber,” katanya.
Hubungan Malaysia dan India semakin strategik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam bidang pertahanan, teknologi dan ekonomi. India kini dilihat sebagai rakan penting Malaysia dalam landskap geopolitik Indo-Pasifik yang semakin kompetitif.
Lawatan dua hari Modi ke Malaysia turut menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman melibatkan pelbagai sektor kerjasama, sekali gus mengukuhkan hala tuju hubungan dua hala untuk jangka panjang.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum