Video tular Inspektor Sheila didakwa memperlekehan anggota polis bawahan baru-baru ini.
Sheila Sharon Steven Kumar, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang kini digantung tugas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugas.
Sheila, 37, yang hadir dalam pakaian merah jambu dan bergari di tangan, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aina Azahra Arifin.
Beliau didakwa dengan sengaja menghalang Lans Kopral Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, daripada menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di hadapan sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah pada 4 November lepas, antara pukul 8.15 hingga 8.30 malam.
Tindakannya itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, mencadangkan jaminan ditetapkan pada RM7,000.
Bagaimanapun, peguam bela Sheila, M Manoharan, membantah jumlah tersebut dengan memohon jaminan yang lebih rendah.
“Tertuduh masih merupakan seorang anggota polis yang telah berkhidmat selama sembilan tahun. Ayahnya, yang berusia 70 tahun dan juga seorang pesara PDRM, hadir sebagai penjamin dan perlu menanggung tujuh orang cucu,” kata peguamnya.
Selepas mendengar hujahan, Hakim Aina Azahra memutuskan jaminan ditetapkan pada RM6,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Januari 2026 untuk sebutan semula kes.
Ketika tiba di mahkamah, Sheila dilihat tersenyum kepada media, namun bersuara tegas apabila menyedari wajahnya dirakam.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berikutan beberapa kes lampau, termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.
Kejadian baru-baru ini dikatakan berpunca daripada satu insiden yang tular di media sosial, apabila Sheila didakwa memperlekeh anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
AGC teliti dua kertas siasatan libatkan Azam Baki
Bekalan minyak negara masih stabil: Amir Hamzah
RM50 juta disalur perkasa TVET 2.0: Anwar
Fahmi nafi gambar tular Jemaah Menteri petanda Parlimen akan dibubar
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi