Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Peristiwa Israk Mikraj terus menjadi peringatan penting solat bukan sekadar kewajipan rutin umat Islam, sebaliknya teras pembinaan keadilan, keharmonian dan kemanusiaan sejagat, kata Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, peristiwa agung itu menandakan saat Rasulullah SAW menerima perintah solat lima waktu secara langsung, sekali gus mengangkat solat sebagai ibadah paling asas dalam membentuk jati diri individu dan masyarakat.
“Solat bukan amalan kosong. Ia membawa makna mendalam dan memberi kesan langsung kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar turut mengaitkan peringatan Israk Mikraj dengan pemikiran ulama besar Nusantara, Syeikh Daud Al-Fatani, menerusi karya klasik ‘Munyatul Musolli’.
Kitab tersebut bukan sahaja membincangkan tatacara solat, malah menyentuh aspek siasah dan tatakelola yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam bab Tatmim al-Fa’idah, Syeikh Daud membicarakan soal solat dan menghubungkannya dengan prinsip keadilan.
“Keadilan itu sendiri adalah keseimbangan, dan ia berjalan seiring dengan konsep convivencia global, iaitu masyarakat dunia yang hidup bersama secara aman,” jelasnya.
Sambutan Israk Mikraj disambut setiap tahun sebagai simbol hubungan spiritual antara manusia dan Tuhan, serta nilai kemanusiaan sejagat.
Dalam konteks dunia hari ini yang sarat dengan konflik dan perpecahan, Anwar menegaskan tanggungjawab mencapai keadilan bukan terhad kepada umat Islam semata-mata.
“Sama ada Muslim atau bukan Muslim, kita semua wajib berusaha ke arah matlamat bersama kemanusiaan agar keadilan dapat diletakkan pada tempatnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar menolak prasangka, stereotaip palsu dan naratif kebencian yang hanya merosakkan keharmonian.
“Kita mesti belajar hidup bersama secara rukun dan damai, sambil kekal tawaduk. Tidak semua soalan ada jawapan segera, dan tidak semua jawapan itu muktamad,” katanya.
Menurut Anwar, sikap rendah hati dan kesediaan mendengar adalah kunci untuk membina masyarakat yang adil dan seimbang, selari dengan roh Israk Mikraj yang menuntut refleksi, bukan sekadar perayaan.
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
Kapal Malaysia tersekat di Selat Hormuz dikepung tentera AS: Mohamad Hasan
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
Kawalan ketat SPRM semasa program Azam Baki, elak kekecohan berulang
Lebih 200,000 penjawat awam mula kerja dari rumah esok
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan