Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
abatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggesa sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh mencetuskan kekeliruan terhadap akidah Islam diperbetulkan dan dimurnikan.
Ketua Pengarah JAKIM, Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya mengambil serius isu berkaitan ‘New Age Movement (NAM)’ yang dikaitkan dengan unsur seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama serta penyelewengan terhadap wahyu dan syariat Islam.
Beliau menegaskan JAKIM tidak berkompromi terhadap sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah Islam.
“JAKIM mengambil perhatian pertanyaan dan persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat termasuk melalui halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari berhubung isu yang dikaitkan dengan fahaman itu yang turut dikaitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Perkara ini sememangnya diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh bagi mendapatkan pandangan serta penelitian berdasarkan disiplin ilmu dengan pembabitan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dipetik laporan media.
Isu NAM sebelum ini turut dibangkitkan Jabatan Mufti Pahang susulan dakwaan fahaman berkenaan semakin mempengaruhi masyarakat Islam melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual.
Mufti Pahang, Asmadi Mohamed Naim, dilaporkan memberi perhatian terhadap kemunculan unsur NAM dalam kursus pembangunan kendiri, seminar ‘healing’ dan latihan minda yang dilihat bersifat neutral, namun didakwa berpotensi membawa pemikiran bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mengulas dakwaan mengenai kaitan isu itu dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Sirajuddin berkata sesi pertemuan dan tabayyun telah diadakan bagi mendapatkan penjelasan secara langsung.
Menurutnya, sesi berkenaan turut membabitkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM serta pihak berkaitan bagi meneliti isu itu dari aspek akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
Hasil pertemuan itu, beberapa teguran, nasihat dan panduan diberikan termasuk berkaitan kandungan serta pengisian program, pendekatan yang digunakan dan implikasinya terhadap agama serta akidah.
“Dalam masa sama, JAKIM menggesa masyarakat tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks.
“JAKIM akan terus melaksanakan amanah memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama,” katanya.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum