Isu projek LCS kembali hangat, DAP persoal kapal masih belum diserah

October 6, 2026 · Isu semasa

Projek pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) bernilai RM11.22 bilion kembali menjadi perhatian selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 mendedahkan projek itu masih mengalami kelewatan.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, laporan audit mendapati kemajuan projek setakat 25 Jun lalu ketinggalan 7.55 peratus daripada jadual ditetapkan, dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari.

Menurutnya, perkembangan itu turut memberi risiko kepada penyerahan fizikal (PHO) kapal pertama, LCS 1, yang asalnya dijadualkan pada 26 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tarikh penyerahan itu kini disasarkan pada 26 Disember depan.

“Kerajaan sudah membayar RM6.1 bilion, namun tiada satu pun kapal LCS diserahkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Guan Eng turut membangkitkan persoalan mengenai tempoh keseluruhan projek, terutama apabila kontrak tambahan yang diperlukan bagi mencapai kesiagaan operasi sepenuhnya dijangka hanya dapat disiapkan pada Disember 2035.

Katanya, tempoh itu jauh melangkaui tarikh tamat kontrak utama pada 25 April 2030.

“LCS bergantung kepada Kontrak Pelengkap yang hanya dapat disempurnakan pada Disember 2035, iaitu melangkaui tempoh akhir Kontrak Utama pada 25 April 2030,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan relevan teknologi kapal berkenaan apabila projek siap kelak, mengambil kira perkembangan pesat teknologi ketenteraan dan sistem persenjataan.

“Selain kehilangan wang berbilion ringgit, kelewatan penyerahan LCS selama 24 tahun pada 2035 untuk tempahan yang dibuat pada 2011 menimbulkan soalan sama ada teknologi dalam LCS akan menjadi usang dan ketinggalan zaman,” katanya.

Menurut LKAN, kelewatan PHO LCS 1 turut memberi kesan kepada tempoh penyerahan bagi LCS 2 hingga LCS 5.

Projek LCS sebelum ini menjadi perhatian susulan isu kos, jadual pembinaan dan kelewatan penyerahan kapal kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kerajaan kemudiannya menyusun semula pelaksanaan projek itu bagi memastikan pembinaan dapat diteruskan selepas berdepan pelbagai masalah sejak kontrak asal diberikan.

Penemuan audit terbaru kini dijangka menghidupkan semula persoalan mengenai tempoh pelaksanaan, peningkatan kos, sasaran penyerahan serta tahap kesiagaan kapal berkenaan.

Ia juga memberi tekanan kepada kerajaan dan pihak berkaitan untuk memastikan projek bernilai berbilion ringgit itu disiapkan mengikut jadual baharu serta memenuhi keperluan pertahanan negara.

Berita berkaitan
Rayer hargai kelulusan RM5 juta bina masjid di Jelutong
12 jam lalu· Politik
Isu RM2.1 bilion KKDW: Akmal persoal laporan Guan Eng kepada SPRM
October 8, 2026· Politik
Loke kekal pendirian berundur selepas Najib pulang ke rumah
October 4, 2026· Politik
Krisis Negeri Sembilan: DAP buat laporan polis, dakwaan kait parti dengan istana
October 1, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
9 jam lalu · Isu semasa
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
9 jam lalu · Isu semasa
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
12 jam lalu · Isu semasa
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
12 jam lalu · Isu semasa
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok