Isu krisis di Negeri Sembilan.
DAP Negeri Sembilan membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengaitkan parti itu dengan krisis pentadbiran negeri serta institusi diraja Negeri Sembilan.
Pengerusinya, J. Arul Kumar berkata hantaran menerusi akaun Facebook milik Khalide Al Walid antara lain mendakwa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempunyai kaitan dengan DAP, selain mengaitkan parti itu dengan isu tanah adat.
Menurutnya, dakwaan berkenaan serius kerana menyentuh institusi diraja yang perlu kekal bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.
“Sebagai parti politik, kita biasa berhadapan kritikan dan tekanan, tetapi apabila institusi diraja dikaitkan dengan mana-mana parti politik, perkara itu sudah melampaui batas,” katanya.
Arul berkata laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Beliau turut meminta polis mengenal pasti pemilik serta latar belakang akaun berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kesalahan mengikut undang-undang.
Selain isu institusi diraja, hantaran berkenaan didakwa turut mengaitkan DAP dengan beberapa perkara termasuk isu tanah adat, kehadiran wakil rakyat pada taklimat berkaitan agama serta pertukaran nama jalan.
Arul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai berkata sepanjang lapan tahun beliau berkhidmat sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini, isu pemindahan milik tanah adat tidak pernah dibincangkan.
“Dakwaan wakil rakyat DAP menghadiri mesyuarat di Pejabat Agama itu pula adalah atas kapasiti sebagai wakil rakyat. Kehadiran pada taklimat berkenaan bertujuan mendapatkan maklumat untuk disampaikan kepada pengundi dan penduduk, khususnya pengundi Islam di kawasan masing-masing,” katanya.
Mengenai pertukaran nama jalan, Arul menjelaskan perkara itu diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
Beliau berkata DAP tidak mahu isu tersebut terus dipolitikkan kerana tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada penyelesaian krisis pentadbiran Negeri Sembilan supaya kerajaan negeri dapat kembali berfungsi dengan baik.
SPRM sedia siasat dakwaan kementerian bawah Zahid belanja lebih RM2.1 bilion
PN minta RoS jelaskan 8 aduan Bersatu: Tuan Ibrahim
Shahrol Shiro nafi lantikan di UKM kerana politik: Laporan
PRN Melaka: BN masih buka pintu kerjasama, termasuk dengan PH
Razali Idris beri bayangan tinggalkan Bersatu, sertai parti lain
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum