Diskaun tol.
Tempoh pembekuan kenaikan kadar tol akan ditentukan oleh Kabinet, bukan oleh Kementerian Kerja Raya.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan sama ada kerajaan mampu meneruskan langkah itu dalam jangka masa panjang bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan Jemaah Menteri.
“Berapa lama kerajaan boleh teruskan, itu bukan soalan yang saya boleh jawab kerana perkara itu perlu dibawa ke Kabinet dan Kabinet yang akan tentukan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Construction Plan 2026-2030 (CAP30) hari ini.
Isu kenaikan tol kembali menjadi perhatian susulan keputusan mesyuarat Kabinet pada Disember lalu yang bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol melibatkan 10 konsesi lebuh raya bagi tahun 2026.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan keputusan itu akan memberi implikasi kewangan kepada kerajaan, namun kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Secara asasnya, kebanyakan perjanjian konsesi lebuh raya membenarkan semakan kadar tol dibuat secara berkala mengikut jadual yang dipersetujui. Ini bermakna, dari sudut perjanjian, kenaikan kadar tol boleh dilaksanakan apabila tiba tempohnya.
Alexander menjelaskan kerajaan mengambil pendekatan menangguhkan kenaikan tersebut bagi mengurangkan beban rakyat yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.
“Jika ikut perjanjian, kadar tol ini memang sudah sampai masa untuk disemak, bermakna kadar tol akan meningkat. Tetapi kerajaan mengambil kira keadaan rakyat yang masih berdepan kos sara hidup dan pelbagai beban lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan penangguhan kenaikan itu bukan bermakna tiada kos terlibat.
“Bukan percuma tetapi kerajaan yang tanggung. Pengguna harus tahulah, bila ditangguh kenaikan harga tol, maka kerajaanlah yang membayar,” katanya lagi.
Langkah pembekuan ini dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan menstabilkan perbelanjaan isi rumah, khususnya bagi pengguna lebuh raya harian, sementara dasar jangka panjang berkaitan struktur tol terus diperhalusi di peringkat Kabinet.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib