Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil, akan mengadakan pertemuan dengan syarikat teknologi gergasi, Meta, pada 22 September ini bagi menangani kebimbangan serius terhadap kandungan perjudian dalam talian yang semakin berleluasa di platform syarikat itu, terutamanya Facebook.
Menteri Komunikasi itu berkata majoriti kandungan yang dipadam dari Facebook adalah berkaitan dengan aktiviti haram itu, termasuk iklan dan hantaran yang mempromosikannya.
“Jika iklan perjudian dibayar menggunakan kad kredit dan Facebook tahu kandungan itu haram di Malaysia, mereka sepatutnya menyekat akaun kad kredit yang digunakan, tetapi Facebook enggan melakukannya,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Menurut Fahmi lagi, bahan seumpama itu terlalu mudah ditemui di platform berkenaan dan menegaskan bahawa syarikat itu perlu mengambil tindakan lebih tegas.
“Saya akan bertemu dengan META pada 22 September. Kami akan bincangkan beberapa perkara,” katanya.
Namun, Fahmi menekankan kerajaan lebih mengutamakan pendekatan dialog dan perbincangan yang membina berbanding mengenakan tindakan hukuman atau sekatan.
Beliau percaya pertemuan yang dijadualkan itu akan membuka ruang untuk menangani sebahagian daripada isu yang membelenggu.
“Kami tidak berniat untuk mengharamkan atau menutup platform berkenaan.
“Ramai mendapat manfaat sosial dan ekonomi daripada platform-platform ini, tetapi kita tidak boleh benarkan penjenayah menyalahgunakannya untuk mengaut keuntungan atau melakukan jenayah siber,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan pertemuan tersebut juga akan membincangkan isu lesen bagi beberapa syarikat pemilik platform media sosial yang masih belum mematuhi peraturan di Malaysia.
PRN NS: Waspada maklumat palsu menjelang hari pengundian
Malaysia kini hanya 7.1 peratus lagi ke status negara berpendapatan tinggi
38 Pusat undi awal PRN Negeri Sembilan ditutup
SPRM jejak dokumen pelaburan KWAP di tiga negara
Polis panggil sanusi, pemimpin UMNO bantu siasatan
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat