Kesemua lelaki yang berusia antara 40 hingga 60 tahun itu direman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang berjaya menahan lima individu, termasuk seorang pekerja kilang durian, susulan kegiatan mengusahakan kebun durian haram di atas tanah kerajaan dan Hutan Simpanan Kekal di sebuah daerah di negeri ini.
Kesemua lelaki yang berusia antara 40 hingga 60 tahun itu direman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan dan mereka ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.
Menurut satu sumber, suspek disyaki terlibat dalam aktiviti memperoleh, memiliki, dan menggunakan wang hasil daripada tanaman durian di tanah haram tersebut dari tahun 2024 hingga 2025.
“Siasatan awal mendapati mereka memperoleh keuntungan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit,” menurut kenyataan tersebut.
Lebih membimbangkan, kegiatan haram ini didakwa dijalankan secara turun-temurun.
“Empat daripada mereka adalah pekebun yang enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri sebagai pemegang pajakan tanah yang sah,” tambah kenyataan itu.
Penahanan ini adalah sebahagian daripada ‘Op Sekat Durian Haram’ yang dijalankan kerajaan negeri.
Operasi bersepadu antara SPRM dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dari 2 hingga 19 September lalu telah mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” ujarnya.
Mohd Shukor juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat bagi memudahkan siasatan lanjut.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum