DAP.
DAP menyerahkan kepada lebih 4,200 perwakilan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 untuk menentukan sama ada parti itu terus berada dalam Kabinet sehingga tamat penggal Kerajaan Perpaduan atau kembali memainkan peranan sebagai pembangkang dari bangku belakang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata keputusan itu bukan sesuatu yang mudah kerana setiap pilihan membawa tanggungjawab dan cabaran tersendiri kepada parti.
Menurutnya, sebagai sebahagian daripada kerajaan, DAP perlu berkongsi tanggungjawab terhadap setiap keputusan pentadbiran, termasuk dasar yang tidak popular serta kelemahan yang masih berlaku.
“Kita perlu membuat pilihan yang sukar. Sama ada kita kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh untuk terus melaksanakan tugas, cuba mempengaruhi dan membawa perubahan serta reformasi yang kita janjikan, atau kita memainkan peranan sebagai pressure group dalam kerajaan, iaitu kembali kepada backbencher,” katanya ketika berucap pada persidangan itu hari ini.
Loke berkata, DAP tidak menafikan parti berdepan pelbagai cabaran sejak menyertai kerajaan, termasuk kritikan daripada masyarakat serta tindakan sesetengah pihak yang memprotes parti.
Katanya, keputusan untuk menyerahkan perkara itu kepada perwakilan dibuat selepas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) membincangkan hala tuju parti susulan prestasi DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.
“Kita berbincang dalam CEC dan memutuskan untuk menyerahkan kepada perwakilan bagi menentukan sama ada parti terus berada dalam kerajaan Persekutuan atau sebaliknya,” katanya.
Beliau menegaskan, apa juga keputusan perwakilan, DAP akan terus memperjuangkan agenda perubahan dan reformasi mengikut kapasiti yang ada.
Jika perwakilan memilih untuk kekal dalam Kabinet, katanya, pimpinan DAP akan meneruskan usaha mempengaruhi dasar kerajaan dan memenuhi janji reformasi yang dibuat kepada rakyat.
“Kalau kita berada dalam kerajaan, sudah tentu ada kekangan dan kelemahan yang perlu kita tanggung bersama. Apa-apa keputusan kerajaan yang tidak popular juga perlu kita tanggung,” katanya.
Loke berkata, perwakilan perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam menentukan keputusan itu kerana ia bukan sekadar menyentuh kedudukan beberapa pemimpin DAP dalam Kabinet, tetapi turut menentukan arah perjuangan parti.
Persidangan itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi Kebangsaan, Gobind Singh Deo; pemimpin veteran, Lim Kit Siang; Naib Pengerusi, Nga Kor Ming dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Chong Chieng Jen.
Keputusan menyerahkan penentuan kedudukan DAP dalam Kabinet kepada perwakilan sebelum ini dibuat CEC susulan kekalahan teruk parti itu dalam PRN Sabah.
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri