Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kerajaan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat pertama mengenai kaedah dan parameter pelaksanaan penyerahan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah sebelum pertengahan Januari tahun depan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi komitmen kerajaan pusat untuk memenuhi tuntutan tersebut dan akan mempercepatkan proses bayaran balik hasil kepada negeri Sabah.
“Mungkin mesyuarat pertama itu kita buat sebelum pertengahan Januari tahun depan mengenai kaedah, parameter supaya betul-betul memberi keyakinan kepada rakyat Sabah,” ujar Anwar pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)hari ini.
Beliau menjelaskan perkara tersebut telah dimuktamadkan dan pasti akan dilaksanakan setelah proses perbincangan teknikal diselesaikan.
Menurutnya, proses rundingan terbantut bulan ini kerana kesuntukan masa dan keperluan untuk mengisi empat portfolio menteri kabinet yang kosong.
“Apa yang sudah muktamad ialah bahawa kerajaan Persekutuan seperti mana yang saya sebut dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen tetap komited untuk menyerahkannya kepada Sabah,” tegas Anwar.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor bersama tiga timbalannya serta barisan Kabinet negeri.
Anwar turut menyentuh mengenai isu lain di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang dibincangkan menerusi majlis khas diketuai Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
“Belum ada dalam sejarah penubuhan Malaysia, kita ada komitmen dan pelaksanaan jauh lebih cepat iaitu sebanyak sembilan perkara telah kita putuskan,” jelasnya mengenai perkembangan pelaksanaan MA63 setakat ini.
Mesyuarat awal peringkat jawatankuasa teknikal telahpun diadakan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bulan lalu.
Perdana Menteri berharap perbincangan akan dapat dilaksanakan dengan lancar bagi memuktamadkan parameter, jumlah, dan peringkat pembayaran yang akan dilaksanakan.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
Tiga maut dilanggar lori imigresen terbabas: Polis tahan dua pemandu
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri