Aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan pelesenan untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah membendung penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata sehingga kini tiada akta khusus yang mengawal selia aplikasi AI, dan ia juga tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kita serahkan kepada Kementerian Digital untuk menggubal akta tertentu bagi mengawal selia penggunaan aplikasi AI.
“Lazimnya, pihak MCMC yang akan melesenkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Internet Selamat 2026 anjuran MCMC hari ini.
Fahmi menjelaskan kerajaan sedang meneliti sama ada badan penguatkuasaan perlu memberikan saranan untuk pelesenan aplikasi AI, bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
“Ketika ini, bagi AI, kesalahan lebih tertumpu kepada penghantaran dan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian untuk hantaran jelik melampau. Kita ada kuasa, tetapi belum berhasrat menggunakannya,” katanya.
Langkah ini dilihat penting susulan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang mendedahkan sekurang-kurangnya 1.2 juta golongan muda tahun lalu mengalami manipulasi imej mereka menjadi ‘deepfake’ secara seksual.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan digital kanak-kanak dan remaja di negara ini.
Dengan perkembangan pesat teknologi AI, kerajaan kini berdepan cabaran menyeimbangkan inovasi digital dengan perlindungan pengguna, terutamanya golongan muda yang paling terdedah.
Langkah meneliti pelesenan ini dilihat sebagai satu usaha proaktif untuk memastikan keselamatan dalam talian tidak diketepikan.
SPRM sahkan panggil Rafizi beri keterangan Isnin
Ringgit kukuh, ekonomi Malaysia kian diyakini dunia: Kamil
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan