Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan pentadbiran Kerajaan Madani tampil lebih berani dan konsisten dalam mempertahankan agenda Bumiputera, sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan mengutamakan golongan elit.
Perdana Menteri berkata rekod tiga tahun kerajaan menunjukkan komitmen jelas dalam menjaga kepentingan Bumiputera.
“Saya nak tekankan, dalam Kerajaan Madani tidak ada langsung pendekatan elitisme yang meminggirkan Bumiputera.
“Malah, program Bumiputera kini lebih lantang, lebih tegas dan lebih berani daripada sebelumnya,” katanya semasa berucap pada sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Anwar turut menjelaskan penekanan terhadap kecemerlangan tidak bermaksud peluang Bumiputera dikurangkan.
Beliau memberi contoh dasar kemasukan automatik ke universiti bagi pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas, tanpa mengira latar belakang.
“Dalam masa sama, 90 peratus anak Bumiputera tetap mendapat tempat dalam program matrikulasi. Jangan ambil satu aspek sahaja dalam perbahasan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan seimbang ini selaras dengan dasar kerajaan yang cuba mengangkat merit tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap Bumiputera, yang secara sejarahnya memerlukan sokongan tambahan dalam pendidikan dan ekonomi sejak era Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan.
Dalam ucapan sama, Anwar turut mengkritik segelintir pihak termasuk ahli akademik yang didakwa membina naratif tidak tepat berhubung kuota pendidikan.
“Ada yang menulis seolah-olah 90 peratus itu satu bentuk diskriminasi, tetapi mereka tidak sebut bahawa program matrikulasi asalnya 100 peratus untuk Bumiputera,” katanya.
Beliau menegaskan pembukaan 10 peratus kuota kepada bukan Bumiputera adalah langkah inklusif bagi membantu golongan miskin dan terpinggir.
Sehubungan itu, Anwar menggesa masyarakat melihat dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak terperangkap dalam persepsi persaingan sifar yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Kalau kita salah faham dasar, ia boleh bawa perpecahan. Kita kena lihat gambaran penuh,” katanya.
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
Isu curi kandungan, Fahmi minta buat laporan kepada Majlis Media
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
25 aduan petrol bercampur air di Perak: KPDN
Sultan Selangor gering, istiadat 1 November ditunda
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum