Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kredit gambar: PMO
Anwar Ibrahim menepis spekulasi kononnya dakwaan wujud usaha serius untuk menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS akan menggugat Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri berkata sebarang perbincangan berkaitan kerjasama politik adalah keputusan parti masing-masing dan belum dibincangkan secara rasmi di peringkat kerajaan, , sambil menegaskan fokus utama kerajaan ketika ini adalah kestabilan dan kebajikan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Itu belum serius, saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan masing-masing,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Beliau menegaskan kerajaan perpaduan kekal utuh dan semua parti dalam gabungan itu sepakat untuk menumpukan usaha kepada pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat.
“Yang penting sekarang kerajaan perpaduan masih utuh dan semua telah berikan pandangan untuk menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi, bela nasib rakyat sehingga PRU akan datang,” katanya.
Anwar turut menyindir spekulasi yang berlegar mengenai perpecahan politik dengan menyatakan ia bukan urusan kerajaan.
“Soal orang yang ada idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai, itu bukanlah masalah saya,” ujarnya.
Spekulasi mengenai kebangkitan semula MN, yang pernah dibentuk pada 2019, timbul susulan ketegangan hubungan antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) kebelakangan ini.
Di pihak UMNO, cadangan tersebut disokong Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh, manakala Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyatakan keterbukaan terhadap idea itu dengan syarat UMNO memutuskan hubungan dengan DAP.
Ditanya sama ada pergolakan dalam kalangan pembangkang memberi kelebihan kepada kerajaan, Anwar enggan mengulas lanjut.
“Itu masalah mereka, tak campur. Cerai-berai ini bukan masalah kerajaan perpaduan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin Yassin menyifatkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN sebagai langkah strategik dan menegaskan Bersatu kekal komited dalam gabungan itu.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula mengesahkan PAS akan mengambil alih kepimpinan PN.
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
Keputusan 14 ADUN dihormati, namun sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan diteruskan
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
Spekulasi ADUN UMNO kembali jadi Exco disangkal Jalaluddin
Amirudin enggan layan desakan pecat Exco UMNO di Selangor
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan