Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kerajaan membuat keputusan bersejarah untuk mengasingkan sepenuhnya peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya, suatu langkah reformasi institusi yang signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani.
Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, berikutan pembentangan beberapa model oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, mengumumkan kerajaan bersetuju secara dasar untuk memisahkan kedua-dua jawatan berkenaan.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah membuat satu keputusan yang sangat bersejarah di mana Kerajaan telah bersetuju secara dasar untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya secara sepenuhnya,” katanya semasa sidang media mingguan hari ini.
Langkah ini merupakan hasil daripada kajian mendalam oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang juga dipengerusikan oleh Azalina.
Sebagai tindakan susulan, pindaan akan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 145, 183, dan 42, untuk mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri dan setara.
“Setelah memberi pertimbangan yang menyeluruh, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM.
Pelaksanaan reformasi ini akan dilaksanakan secara berfasa.
Satu Rang Undang-Undang omnibus akan digubal untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan. Selain itu, satu akta baharu berkenaan saraan bagi kedua-dua jawatan juga akan diwujudkan.
Latar belakang pemisahan ini telah lama diperdebatkan bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan konflik kepentingan, di mana Peguam Negara, yang menjadi penasihat undang-undang kerajaan, juga memegang kuasa pendakwaan.
Langkah ini diharap dapat mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang, dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
SPRM buka dua kertas siasatan berhubung isu dana hampir RM300 juta: Laporan
RUU PSB perlu dibaiki demi hak penduduk, UMNO tak tolak pembangunan: Asyraf
Kerajaan tarik balik RUU Pembaharuan Bandar untuk penambahbaikan: Fahmi
Kerajaan perhalusi persiapan pelajar tahun 1 dan laluan IPTA pelajar
10 ajaran sesat masih aktif, JAKIM tingkat pemantauan
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong