Kes mahkamah.
Perbicaraan kes rasuah membabitkan pelakon dan usahawan Zizie Izette Abdul Samad memasuki fasa baharu selepas pihak pembelaan hari ini menutup kes bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Peguam bela, K. Kumaraendran memaklumkan mahkamah pihaknya menutup kes selepas anak guamnya selesai memberi keterangan sebagai saksi kedua pembelaan.
Menurutnya, semua keterangan yang diperlukan bagi mempertahankan Zizie telah dikemukakan kepada mahkamah.
“Pihak pembelaan dengan ini menutup kes selepas saksi kedua pembelaan selesai memberi keterangan,” katanya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum keputusan dibuat.
Hakim turut menetapkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya 24 April, manakala hujahan balas pembelaan pada 8 Mei.
Kes itu sebelum ini turut melibatkan suami Zizie, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin yang menghadapi tiga pertuduhan rasuah berkaitan perkara sama.
Beliau sebelum ini telah memberi keterangan bela diri pada September tahun lalu.
Namun pada Januari lalu, mahkamah memutuskan untuk melepaskan Bung Moktar daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat meneruskan prosiding berikutan kematiannya pada 5 Disember 2025.
Kes tersebut berkait dakwaan rasuah bagi mendapatkan kelulusan pelaburan sebanyak RM150 juta dana FELCRA Berhad dalam unit amanah yang diuruskan oleh Public Mutual Berhad.
Latar belakang kes ini bermula apabila Mahkamah Sesyen pada 2022 memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan, sekali gus memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri.
Bagaimanapun, pasangan itu kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September 2023 sebelum pihak pendakwaan membuat rayuan.
Pada November 2024, Mahkamah Rayuan Malaysia membenarkan rayuan tersebut dan mengarahkan kedua-duanya dipanggil membela diri semula terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri, manakala Zizie turut diwakili peguam M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Program Ziarah Kasih: Fahmi santuni warga emas, pesakit terlantar di Seri Menanti
62 NADI Negeri Sembilan tawar latihan AI percuma
Hubungan diplomatik baik, politik stabil jamin bekalan tenaga: PMX
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi