Sayed Amir Muzzakkir Al Syaed Mohamad.
Jururunding bebas sebuah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Khamis, seorang bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin pernah meluahkan rasa kecewa terhadap Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Wan Azhar Mohamed Yusof kerana didakwa masih belum melunaskan baki bayaran sebanyak RM2 juta.
Khairul Nizam Mohd Sayuti, 54, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad ketika mereka bertemu di pejabat tertuduh di Publika pada 29 Januari 2021.
Menurutnya, Sayed Amir Muzzakkir turut bertanyakan mengenai peluang projek yang diketahui olehnya sebelum mengadu tidak berpuas hati dengan Wan Azhar.
“Sayed Amir Muzzakkir mengadu dia tidak berpuas hati dengan Wan Azhar kerana bayaran tidak cukup, tidak mengikut jadual dan masih ada baki hutang RM2 juta. Saya hanya mendengar dan menasihatkan beliau supaya mengikut sahaja perjanjian yang telah dibuat,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.
Khairul Nizam memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM350,000.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi, beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, Sayed Amir Muzzakkir kelihatan benar-benar kecewa ketika menceritakan perkara itu.
“Sebagai orang biasa, saya nampak lenggok tubuh beliau memang tidak puas hati dengan Wan Azhar dan nadanya kecewa, mungkin juga marah ketika itu,” katanya.
Bagaimanapun, saksi itu mengakui tidak mengetahui secara terperinci sama ada jumlah RM2 juta tersebut merupakan sebahagian daripada perjanjian antara kedua-dua pihak atau sebaliknya.
Khairul Nizam turut mendedahkan Wan Azhar pernah memintanya menyampaikan mesej kepada Sayed Amir Muzzakkir sudah “menyerah kalah” dan tidak lagi mampu membuat bayaran kerana tuntutan pembayaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum diterima.
“Saya hanya tahu Wan Azhar perlu membuat bayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir, tetapi saya tidak tahu jadual, pecahan atau jumlah sebenar yang telah dibayar. Saya juga tidak pernah menyaksikan sebarang transaksi pembayaran antara mereka,” katanya.
Saksi itu turut memberitahu mahkamah Wan Azhar pernah memaklumkan kepadanya Sayed Amir Muzzakkir menghubunginya dan menawarkan bantuan bagi mendapatkan projek penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti peralatan PDRM.
Menurutnya, beliau diminta hadir dalam satu pertemuan bersama Sayed Amir Muzzakkir bagi membincangkan perkara itu.
Ketika ditanya mengapa beliau percaya tertuduh mampu membantu mendapatkan projek berkenaan, Khairul Nizam menjawab kedudukan Sayed Amir Muzzakkir sebagai setiausaha politik Menteri Dalam Negeri ketika itu memberi keyakinan sedemikian.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Yaacob Md Sam, saksi itu mengakui tidak mengetahui sama ada NSB menawarkan harga paling rendah atau menduduki kedudukan terbaik dalam penilaian tender projek RMPNet berkenaan.
Sayed Amir Muzzakkir didakwa pada 23 Mei 2024 atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar sebagai balasan membantu NSB memperoleh tender penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti bagi infrastruktur, pelayan, perisian serta radio pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai lebih RM381 juta.
Beliau turut berdepan satu lagi pertuduhan meminta suapan dengan tujuan sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 19 Ogos ini.
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS