Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kesan keseluruhan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap isi rumah dijangka rendah dan terkawal berdasarkan unjuran awal Kementerian Kewangan (MOF), demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Beliau menjelaskan unjuran tersebut berikutan pelbagai kemudahan dan pengecualian yang telah diperkenalkan sebagai langkah mitigasi.
Langkah-langkah ini dilaksanakan bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan yang lebih baik, ujarnya lagi.
“Masih terlalu awal untuk melihat impak keseluruhan pelaksanaan SST kepada rakyat, memandangkan pelaksanaan peluasan skop SST baru bermula pada 1 Julai 2025.
“Namun, berdasarkan unjuran awal kementerian, kesan ke atas isi rumah dianggarkan rendah dan terkawal,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Senator Ros Suryati Alang yang ingin mengetahui kesan pelaksanaan SST serta sama ada strategi tersebut telah membantu kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan tanpa perlu menambah pinjaman atau hutang.
Hui Ying turut menekankan bahawa pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan sosial dan fiskal, sekaligus menyokong aspirasi ekonomi Madani yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian negara.
Kerajaan menjangka bahawa peluasan skop SST akan mampu menjana hasil tambahan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini.
Menurutnya, tambahan hasil ini bersama-sama dengan pendekatan perbelanjaan yang optimum dan berhemah telah memperkukuh kedudukan kewangan negara.
“Keadaan ini membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan tanpa perlu menambah pinjaman atau hutang yang tinggi.
“Peningkatan hasil cukai juga membolehkan kerajaan terus menyediakan subsidi bahan asas melalui peruntukan subsidi kepenggunaan kepada sebahagian besar rakyat, bagi meringankan kos sara hidup,” tambahnya.
Antara program yang disebut termasuk Program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Seorang guru didakwa amang seksual dua murid, miliki bahan lucah
Pembangunan AI perlu berteraskan nilai kemanusiaan: PMX
Azam Baki fail saman fitnah terhadap Albert Tei
MCMC arah tindakan segera baiki liputan telekomunikasi di Kampung Tinagat
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi