Khairy hadir ke PAU 2025 buat kali pertama sejak dipecat pada 2023.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mencuri tumpuan apabila membuat kemunculan semula di Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini, penampilan pertamanya sejak dipecat pada 2023.
Khairy hadir ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau tampil segak berbaju Melayu putih lengkap bersamping merah dan bersongkok, sekali gus mengundang perhatian perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka.
Ketibaannya bersama Akmal, Mohamed Nazri Abdul Aziz serta beberapa bekas Ketua Pemuda UMNO lain disambut dengan majlis ringkas termasuk paluan gendang dan persembahan silat.
Suasana itu seolah-olah mengimbau kembali era kepimpinan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO dari 2009 hingga 2018.
“Ini isyarat bahawa UMNO sentiasa terbuka kepada dialog dan penyatuan,” kata seorang perwakilan Pemuda yang ditemui, sambil menyifatkan kehadiran Khairy sebagai detik simbolik buat generasi muda parti.
Untuk rekod, Khairy dipecat daripada UMNO pada 2023 selepas Lembaga Disiplin parti mendapati beliau didakwa memperlekehkan serta mensabotaj kempen Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Ketika itu, beliau merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh. Beberapa bahan bukti termasuk rakaman video turut diteliti dalam siasatan berkenaan.
Selepas pemecatannya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu secara terbuka mengkritik UMNO dan mendakwa parti berkenaan telah tersasar daripada hala tuju asal, malah menampilkan dirinya sebagai alternatif politik baharu.
Namun, spekulasi mengenai kepulangan Khairy ke UMNO kembali hangat apabila pada Oktober lalu, sumber parti mendakwa beliau dijangka menyertai semula UMNO dengan restu Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
“Restu itu dikatakan diberi secara peribadi,” kata sumber berkenaan.
Walaupun Khairy sebelum ini meminta masa untuk memberi penjelasan dan kekal berdiam diri selepas itu, kemunculannya hari ini dilihat sebagai perkembangan baharu yang membuka pelbagai tafsiran terhadap masa depan beliau bersama UMNO.
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
PAS cadang perpaduan Melayu, tetapi tak mahu Hamzah dalam parti
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar