Mohd Zuhdi Marsuki.
PAS mempunyai tiga pilihan politik yang dianggap realistik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka bermula secara rasmi dalam tempoh kurang seminggu lagi.
Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki berkata, ketiga-tiga pilihan itu berasaskan konsep “politik nyata” yang memberi tumpuan kepada medan sebenar bagi mencapai matlamat politik parti.
Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperjuangkan PAS sejak lebih sedekad lalu, selain membolehkan parti itu menyesuaikan strategi politik mengikut keadaan semasa tanpa melanggar prinsip syarak.
Beliau berkata, pilihan pertama ialah PAS bergerak secara solo dalam PRN Johor sebagai jalan keluar daripada kemelut yang sedang melanda Perikatan Nasional (PN).
“Pilihan pertama ini adalah seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS pada awal tahun 2026 dan turut mendapat sokongan beberapa pemimpin Pemuda PAS,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Zuhdi berkata, pilihan kedua pula ialah PAS menjalin semula kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerusi naratif Muafakat Nasional (MN) 2.0.
Menurutnya, pilihan itu tidak mustahil direalisasikan memandangkan beberapa siri pertemuan antara pihak berkaitan dilaporkan telah berlangsung kebelakangan ini, sebagaimana pernah dinyatakan oleh pimpinan tertinggi PAS.
Beliau turut menggariskan pilihan ketiga iaitu PAS menangguhkan keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga PRN Johor selesai.
Katanya, langkah tersebut memerlukan kepimpinan PN memainkan peranan untuk mewujudkan perdamaian sementara antara PAS dan Bersatu bagi memastikan gabungan itu dapat menghadapi pilihan raya negeri berkenaan secara bersama.
“Ketiga-tiga pilihan yang ada ini adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dan boleh dicapai ketika semboyan PRN Johor sudah semakin menggetarkan gegendang telinga masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zuhdi berpandangan hala tuju sebenar PAS menjelang PRN Johor masih belum dapat dipastikan, sekali gus menyebabkan jentera parti di pelbagai peringkat menunggu keputusan serta arahan rasmi daripada kepimpinan tertinggi.
Beliau mengingatkan sebarang keputusan yang bakal dibuat perlu mengambil kira realiti politik semasa dan sentimen akar umbi.
“PAS tidak boleh membuat keputusan di dalam ‘bilik kebal’ dengan mengabaikan realiti sebenar di luar,” katanya.
PRN Johor dijangka menjadi ujian penting buat PAS susulan perkembangan mutakhir dalam PN yang menyaksikan hubungan antara parti komponen gabungan itu menjadi perhatian ramai.
Selain itu, spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama baharu antara PAS dan UMNO turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong kedua-dua parti.
Setakat ini, kepimpinan PAS belum mengumumkan secara rasmi pendekatan yang akan diambil bagi menghadapi pilihan raya negeri tersebut.
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Tun Faisal gesa Samsuri lapor polis isu dua kenyataan media berbeza di FB
Johor perlukan kerajaan negeri sehaluan Putrajaya: Amanah
Bukan nama Wawasan, sebaliknya PN sahkan kemasukan PCM dan Pejuang
Kerjasama dengan Putrajaya kunci kemajuan Johor: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar