Komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri: Jufazli kekal bebas, rayuan pendakwaan ditolak

August 10, 2026 · Politik

Aktivis politik, Jufazli Shi Ahmad kekal bebas selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan membebaskannya daripada dua pertuduhan berkaitan komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan UMNO.

Keputusan itu dibuat Hakim Aslam Zainuddin selepas meneliti rekod rayuan, alasan penghakiman Mahkamah Sesyen serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Setelah membaca rekod rayuan kes ini, alasan penghakiman Mahkamah Sesyen dan hujahan semua pihak, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan terdahulu,” katanya.

Dengan keputusan itu, Jufazli, 37, terus dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan yang dibawa terhadapnya sejak 2022.

Kes berkenaan bermula apabila Jufazli didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video yang didakwa bersifat jelik dengan niat menyakiti hati orang lain.

Video berkenaan didakwa dimuat naik menerusi akaun YouTube King Maker Politik pada 27 Jun 2022 dan kemudiannya dilihat di pejabat Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 1 Julai tahun sama.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika disabitkan.

Jufazli turut berdepan pertuduhan kedua kerana didakwa gagal memberikan kata laluan akaun berkenaan kepada pegawai polis ketika diminta pada 5 Julai 2022.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 249 akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Jufazli mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pertama pada 7 Julai 2022.

Selepas melalui prosiding perbicaraan, Mahkamah Sesyen pada 18 Oktober 2024 melepas dan membebaskannya daripada kedua-dua pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, sekali gus membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen, sekali gus menamatkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Jufazli bagi dua pertuduhan tersebut.

Jufazli dalam kes ini diwakili peguam Ramesh NP Chandran, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Berita berkaitan
Zahid mahu jadi PM? Selesaikan dulu isu integriti – AMK
5 jam lalu· Politik
PAS tak perlu diuji, Sanusi bidas cadangan UMNO supaya lepaskan kerusi
6 jam lalu· Politik
PMX temui Mufti Besar India, fokus usaha perkukuh keharmonian agama
16 jam lalu· Isu semasa
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
16 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
6 jam lalu · Politik
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
24 jam lalu · Politik
Jangan jadi ‘imigresen’ syurga, Islam bukan milik PAS: Amanah Selangor
24 jam lalu · Politik
UMNO kekal hingga tamat penggal, PKR sambut baik: Saifuddin Nasution
24 jam lalu · Politik
Bekas menteri bakal didakwa esok berhubung RCI Tabung Haji
24 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok