Kes buli di sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan sebanyak 7,681 kes salah laku buli di sekolah-sekolah bawah seliaannya pada tahun lalu, menunjukkan peningkatan berbanding 6,528 kes pada tahun 2022.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata angka tersebut diperoleh daripada sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), dengan 1,992 kes membabitkan sekolah rendah manakala 5,689 kes lagi berlaku di sekolah menengah.
Beliau menegaskan KPM amat mengambil berat tentang isu buli dan telah melaksanakan pelbagai program serta langkah intervensi bagi menanganinya.
“KPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli yang berlaku di institusi pendidikan. Usaha membanteras gejala ini memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak,” katanya melalui satu jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai langkah pencegahan baharu yang diperkenalkan untuk menangani budaya buli di sekolah.
Menurutnya, KPM mempunyai mekanisme yang jelas untuk membendung masalah ini, termasuk melalui pelaksanaan Program Sekolah Selamat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.
Selain itu, KPM juga telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli pada November tahun lalu sebagai panduan menyeluruh bagi semua pihak di sekolah.
Antara langkah lain yang dilaksanakan termasuk melakukan audit keselamatan di semua institusi pendidikan, menambah baik SOP keselamatan dan disiplin, serta mengemaskini portal aduan buli dengan menambah fungsi aduan tanpa nama (anonim) bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
Fadhlina menyatakan keyakinannya dengan usaha berterusan yang dilaksanakan, gejala buli dapat dikurangkan dan kesedaran dalam kalangan murid dapat ditingkatkan.
Harga petrol tanpa subsidi naik 5 sen
Dua pembantu Najib diperintah bayar RM483,000 kepada pendakwah bebas
RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas pengerusi TH, bekas KSU Perbendaharaan
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri