M. Kulasegaran, bersama aktivis Arun Dorasamy di luar mahkamah.
Pemimpin DAP, M. Kulasegaran menafikan berada di dalam mahkamah ketika prosiding membabitkan aktivis Arun Dorasamy berlangsung di Mahkamah Majistret Jawi, hari ini.
Sebaliknya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menjelaskan hanya bertemu secara ringkas dengan Arun di luar kompleks mahkamah sebelum beredar.
Kulasegaran berkata hanya singgah di mahkamah tersebut ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang dan mengambil kesempatan bertemu Arun untuk memberi kata-kata semangat agar aktivis itu terus mempercayai proses perundangan yang akan dihadapinya.
“Saya mengenali Arun sejak saya mewakili Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan anak-anaknya.
“Saya hanya bertemu beliau seketika di sekitar kawasan kompleks mahkamah sebelum beredar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, beliau tidak berada di dalam bilik mahkamah ketika pertuduhan dibacakan atau ketika prosiding berlangsung.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak berada dalam bilik mahkamah ketika pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan,” katanya lagi.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Biro Pemahaman dan Pemerkasaan Agama PKR yang sebelum ini meminta penjelasan berhubung kehadiran Ahli Parlimen Ipoh Barat itu bersama Arun di Mahkamah Majistret Jawi.
Pengerusi biro berkenaan, Amidi Abdul Manan, berkata kehadiran Kulasegaran walaupun atas kapasiti peribadi boleh menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, perkara itu juga berpotensi menjejaskan persepsi awam terhadap kerajaan memandangkan Kulasegaran merupakan sebahagian daripada barisan pentadbiran kerajaan.
Isu tersebut mendapat perhatian selepas beberapa pihak mempersoalkan kehadiran seorang anggota pentadbiran kerajaan di mahkamah ketika prosiding kes melibatkan seorang aktivis sedang berlangsung.
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan