Lima jawatan tertinggi PAS kekal tanpa pertandingan

August 30, 2025 · Politik

PAS sekali lagi membuktikan kestabilan dalaman parti apabila kesemua lima jawatan tertinggi parti itu tidak memerlukan sebarang pertandingan dalam pemilihan kali ini.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengumumkan semua penyandang jawatan tertinggi berjaya mengekalkan kedudukan mereka selepas tarikh penutupan pencalonan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, kekal memimpin parti bersama Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, serta tiga Naib Presiden iaitu Idris Ahmad, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Amar Nik Abdullah.

Takiyuddin menjelaskan pada awalnya terdapat empat pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, namun hanya tiga yang disahkan selepas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, menolak pencalonannya.

“Maknanya kesemua penyandang menang tanpa bertanding selepas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak pencalonan,” katanya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut pada Sabtu.

Beliau turut mengumumkan kepimpinan bagi Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama PAS Pusat juga kekal tanpa sebarang pertandingan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya, kekal memimpin Dewan Ulama tanpa pertandingan, termasuk 12 jawatankuasa yang dipilih tanpa saingan.

Seramai 30 calon akan bertanding untuk mengisi 18 kerusi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, manakala Dewan Pemuda mempunyai 20 calon untuk 12 kerusi, dan Dewan Muslimat mempunyai 16 calon untuk 12 kerusi.

Takiyuddin menegaskan kestabilan parti tersebut membolehkan PAS memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) serta melaksanakan pembangunan di negeri-negeri yang ditadbirinya iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-71 dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 September depan dengan penyertaan seramai 4,200 perwakilan dari seluruh negara.

Siri muktamar akan dimulakan dengan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-66 pada 11 dan 12 September, diikuti Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-65 pada 13 September di Kompleks PAS Kedah.

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS akan diadakan di Darul Hadis Tok Keling pada 13 September, manakala Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan berlangsung di Gandhi Hall Sungai Petani dan Konvensyen Assabiqun di Sekolah Rendah Agama Al-Akhlaq Al-Islamiyah (SAIF) di Guar Chempedak pada tarikh yang sama.

Berita berkaitan
UMNO-BN tak berganjak, terus sokong kerajaan hingga akhir penggal: Khaled
August 17, 2026· Politik
DAP kekal, Ibrahim Ali dakwa PAS kecewa tak dapat masuk jadi kerajaan
August 17, 2026· Politik
AMK Selangor: PAS jangan sekadar cakap besar mahu tumbangkan PH
August 17, 2026· Politik
Tun Faisal kritik Hadi, boleh hadir program parti tapi ponteng sesi RCI TH
August 14, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
5 jam lalu · Politik
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
9 jam lalu · Politik
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
10 jam lalu · Politik
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
10 jam lalu · Politik
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
August 18, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok