Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meraikan aktivis Global Sumud Flotilla malam tadi.
Sebagai tanda solidariti berterusan, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Komunikasi akan menganugerahkan biasiswa kejuruteraan rangkaian kepada lima rakyat Palestin bagi membantu mereka membina semula infrastruktur komunikasi yang musnah di Gaza.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan tawaran itu sebagai langkah praktikal untuk menyokong rakyat Palestin yang menghadapi kemusnahan sistematik prasarana akibat serangan rejim Zionis Israel.
“Apa yang telah berlaku di Gaza adalah penghancuran sistematik melibatkan prasarana dan infrastruktur.
“Kami bersetuju menyediakan biasiswa untuk lima rakyat Palestin untuk datang atau telah berada di Malaysia bagi pengajian dalam bidang kejuruteraan radio atau rangkaian,” jelas Fahmi semasa menghadiri Himpunan Solidariti Bersama Gaza malam tadi.
Beliau menjelaskan inisiatif tersebut akan dilaksanakan selepas perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kedutaan Palestin di Malaysia.
Selain biasiswa, Fahmi turut menyatakan komitmen kerajaan dalam membantu pendidikan anak-anak Palestin dan pihak kedutaan telah mencadangkan pembangunan modul e-pembelajaran khusus.
“Kita ada banyak pengalaman melalui pusat sebaran maklumat nasional. Saya akan minta MCMC bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk kedutaan Palestin untuk merangka program khas. Kita akan bantu mereka untuk beri pendidikan,” ujarnya.
Fahmi juga menggesa rakyat Malaysia untuk terus bersuara mengenai isu Palestin.
“Kita sebagai rakyat biasa mampu mengubah sikap dan fikiran bila kita memuat naik pelbagai informasi mengenai Palestin. Algoritma itu akan membantu lebih ramai untuk melihat isu tersebut,” katanya.
Himpunan tersebut turut meraikan kepulangan 23 aktivis Global Sumud Flotilla yang sebelum ini ditahan oleh Israel ketika dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kerajaan perangi judi haram secara lebih agresif: PMX
Dewan Rakyat diberitahu lebih 21,000 remaja hamil luar nikah sejak 2019
Pembinaan rumah ibadat perlu mengikut lunas perundangan, titah Agong
Majoriti pengguna RON95 guna bawah 200 liter sebulan: Anwar
Kedudukan CPI Malaysia meningkat, usaha lawan rasuah tunjuk hasil: Anwar
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen