Lumba haram: Denda hingga RM20,000, penjara lima tahun

October 16, 2026 · Isu semasa

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 berkuat kuasa hari ini dengan memperkenalkan hukuman lebih tegas terhadap kegiatan lumba haram dan tonto, selain memperkukuh penguatkuasaan serta pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan pindaan yang mengandungi 42 fasal itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya, menutup kelompongan undang-undang dan memodenkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Antara perubahan utama ialah pengenalan Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus. Peruntukan itu membolehkan tindakan diambil tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.

Bagi sabitan kali pertama, pesalah boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi sabitan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pindaan itu turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi membanteras kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan, termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi kepada pihak tertentu.

Pesalah yang disabitkan atas kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kesalahan itu turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap.

Selain itu, pindaan berkenaan memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar bagi kesalahan yang dikesan menerusi kamera penguatkuasaan, termasuk sistem penguatkuasaan automatik.

Langkah itu bertujuan mengelakkan pemilik kenderaan daripada melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan menggunakan kenderaan berdaftar atas nama mereka.

MOT turut memperkukuh asas perundangan bagi penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis elektronik, selain membuka ruang kepada pelaporan kemalangan secara digital mengikut tatacara ditetapkan.

Kawalan keselamatan kenderaan elektrik, kenderaan yang diubah suai, komponen kenderaan dan kenderaan mikromobiliti juga diperkemas menerusi pindaan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, peningkatan had maksimum kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun daripada RM300 kepada RM500 hanya akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2029 bagi memberikan tempoh peralihan kepada pengguna jalan raya.

MOT menjelaskan peningkatan itu tidak bermaksud semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik kerana jumlah kompaun bergantung pada jenis kesalahan dan kaedah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dan memberikan kesan pencegahan yang lebih berkesan, bukannya untuk membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] menjadi kerangka utama undang-undang berkaitan penggunaan jalan raya dan pengangkutan darat di Malaysia. Pindaan terbaharu ini memperluas pendekatan penguatkuasaan terhadap kegiatan berbahaya, di samping menyesuaikan perkhidmatan JPJ dengan perkembangan teknologi digital.

Berita berkaitan
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
October 23, 2026· Politik
ECRL mula operasi Disember, tiket ekonomi diskaun 30 peratus: Loke
October 20, 2026· Isu semasa
Kes hina mahkamah: Rayuan hukuman penjara Papagomo ditangguh
October 16, 2026· Politik
Tahanan rumah Najib kekal meski mahkamah tolak tangguh hukuman kes 1MDB: Shafee
October 14, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
October 23, 2026 · Isu semasa
Anwar doakan Ustaz Wadi Annuar segera pulih selepas terlibat kemalangan
October 23, 2026 · Isu semasa
Belanjawan 2027: STR, SARA RM16 bilion kekalkan kuasa beli rakyat
October 23, 2026 · Isu semasa
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
12 jam lalu · Isu semasa
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok