Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Razali Idris.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Razali Idris perlu membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan apabila mendakwa keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dalam kes yang dituduh terhadap Razali ekoran ucapannya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, dua tahun lalu.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Razali, 58, pada akhir kes pendakwaan.
“Setelah meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan). Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
“Oleh itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan ini,” kata Norma yang kemudian menetapkan tarikh perbicaraan selama empat hari pada 26 dan 30 September dan 2 serta 3 Oktober depan.
Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badiuszaman Ahmad dan Muhammad Amir Hannif Ahijman, manakala Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu diwakili peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Empat saksi pendakwaan telah memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 22 April 2024.
Pada 24 November 2023, Razali didakwa atas pertuduhan menyebut perkataan berunsur menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, antara jam 9.30 dan hingga 11.30 malam pada 10 November 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pelaburan negeri hasil usaha PH sebelum Kerajaan Perpaduan: Aminuddin
UMNO teliti 14 tawaran PN sebelum buat keputusan
BN NS akui Tok Min berjaya tingkatkan hasil negeri sepanjang PH tadbir
Kerjasama BN-PH bukan kontrak sampai mati
Tengku Zafrul nafi wujud sabotaj dalam kempen calon PKR
[VIDEO] Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat