Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu.
Difahamkan, sesi menghadap itu bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang sementara butiran lanjut mengenainya belum dapat dipastikan.
Semalam, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pagi tadi, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali berkata Istana Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, yang dimuat naik di media sosial pada 10 malam tadi.
Semalam, Zambry berkata Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan, yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.
Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
– Bernama
AMK: Pantun Ahmad Maslan biadab, patut letak jawatan terus
Ismail Lasim pilih untuk berdiam diri selepas letak jawatan MB: Laporan
Pantun ‘kencing’ Mat Maslan makan diri, bukankah UMNO juga dalam kerajaan?
Anwar: Kerajaan masih stabil, jangan layan spekulasi liar
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron