Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Malaysia mengecam keras tindakan ketenteraan yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa serta prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menegaskan Malaysia tidak boleh berdiam diri apabila sebuah negara berdaulat diserang dan tindakan tersebut berisiko mencetuskan ketegangan lebih besar di Asia Barat yang sememangnya sudah lama bergolak.
“Tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip dunia serta ketetapan undang-undang antarabangsa.
Jika serangan berterusan terhadap sebuah negara berdaulat, ia berisiko mencetuskan eskalasi lebih besar dan menggugat kestabilan serantau,” katanya di Dewan Rakyat.
Ketegangan antara Iran dan Israel bukan isu baharu.
Sejak sekian lama, kedua-dua negara terlibat dalam konflik tidak langsung yang melibatkan serangan balas dan operasi ketenteraan di beberapa negara Asia Barat.
Amerika Syarikat pula sering dilihat sebagai sekutu rapat Israel dalam pelbagai isu keselamatan serantau.
Situasi ini menambah kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap kemungkinan tercetusnya konflik lebih luas yang boleh menjejaskan ekonomi global serta keselamatan tenaga.
Anwar berkata tindakan ketenteraan sedemikian bukan sahaja mengancam keselamatan rantau itu, malah berpotensi mengheret lebih banyak negara ke dalam peperangan sekiranya tidak dibendung segera.
Beliau menegaskan keutamaan ketika ini ialah menghentikan keganasan dan kembali kepada meja rundingan.
“Kita menyeru supaya gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan serta-merta. Sebarang pertikaian mesti diselesaikan melalui rundingan diplomatik di platform antarabangsa termasuk di PBB,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan tindakan ketenteraan yang berulang hanya akan memburukkan lagi keadaan dan mencetuskan kitaran konflik baharu.
Malaysia, tegasnya, akan terus berpegang kepada prinsip keamanan, kedaulatan negara dan penyelesaian secara diplomasi dalam menghadapi krisis antarabangsa yang semakin kompleks.
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
Cucu dedah dakwa dirogol, warga emas direman enam hari
Malaysia teroka sumber minyak baharu, utamakan kesesuaian fasiliti tempatan
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi