Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berucap semasa Himpunan Solidariti Bersama Gaza malam tadi.
Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara sahabat, dunia Islam, serta blok kemanusiaan antarabangsa bagi merealisasikan misi bantuan ke Gaza dan mendorong ke arah keamanan serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Malaysia tidak gentar memperjuangkan kebenaran dan akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dalam menentang kekejaman rejim Zionis.
“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri. Suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas perhimpunan solidariti besar-besaran di Stadium Axiata Arena malam tadi.
Dalam usaha membuka laluan bantuan, Anwar mendedahkan berkata sedang merangka strategi baharu, termasuk menggunakan laluan darat melalui Rafah, Mesir.
Langkah ini merupakan ikhtiar untuk memecahkan ‘tembok’ sekatan rejim Zionis, terutamanya selepas kapal bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas oleh tentera Israel baru-baru ini.
Bagi merealisasikan Gelombang Kedua misi kemanusiaan Sumud Nusantara, Anwar berikrar akan menggunakan segala saluran diplomasi.
“Kita akan berunding dengan Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi, untuk membenarkan Rafah digunakan sebagai pintu masuk bantuan ke Palestin,” janjinya.
Mengenai Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang diadakan, Anwar menyifatkannya sebagai bukti perpaduan rakyat Malaysia.
“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian. Mereka datang kerana hati nurani yang menolak kezaliman. Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip dan berjiwa besar,” ujarnya.
Perhimpunan tersebut menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bagi menyuarakan solidariti terhadap rakyat Gaza yang terus menderita dan dinafikan bantuan kemanusiaan asas.
Teknologi perlu selamat, adil dan dipercayai
Festival Sungai Melaka cipta dua rekod Malaysia Book of Records
MCMC rekod lebih 377,000 permohonan turunkan kandungan bahaya tahun ini
Malaysia tegas pertahan kedaulatan, bantah campur tangan Ahli Kongres AS: Fahmi
PRN N9: Tauliah mengajar agama ahli politik digantung sementara
[VIDEO] Syarikat telco bocor data Khairul Aming merisaukan, Fahmi arah MCMC dapatkan laporan penuh
[VIDEO] PH sudah buktikan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan, PRN ini teruskan kerajaan yang stabil