Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini telah menyerlahkan kehebatan seni diplomasi Malaysia dalam mengemudi landskap politik global yang kompleks.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata meskipun Malaysia bukan sebuah negara besar dari segi ketenteraan, ia memiliki ‘senjata super’ tersendiri.
“Malaysia, kita tidak ada ketenteraan yang besar dan kita adalah sebuah negara kecil, tetapi kita ada satu ‘super weapon’ iaitu kehalusan seni diplomatik kita.
“Tidak boleh dinafikan para diplomat Malaysia merupakan antara yang terbaik di peringkat antarabangsa,” ujarnya semasa berucap pada perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Beliau menekankansebagai sebuah negara yang memegang jawatan pengerusi ASEAN secara bergilir-gilir, Malaysia tidak boleh memisahkan peranannya daripada realiti geopolitik semasa.
Pendekatan berkecuali Malaysia, katanya, adalah kunci kepada hubungan antarabangsa yang makmur.
“Kita sedar ekonomi akan terkesan sekiranya kita tidak mengadakan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara rakan dagang… sebab itu cara Malaysia ialah tidak berpihak,” jelas Fahmi lagi.
Sidang kemuncak tersebut menyaksikan beberapa detik bersejarah yang dirangkaikan di Kuala Lumpur.
Antaranya ialah kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, mengembangkan keahlian blok serantau itu buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun. Satu lagi momen bersejarah ialah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, yang dipuji ramai sebagai langkah murni ke arah kestabilan serantau.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut hadir dan mengiktiraf peranan penting Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam memudahcara perjanjian berkenaan.
Di samping itu, hubungan dua hala Malaysia-AS juga diperkukuh dengan termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang mengiktiraf 1,711 produk Malaysia untuk menikmati kadar tarif sifar peratus.
Sidang kemuncak tiga hari yang dihadiri 30 pemimpin dunia itu sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomasi yang disegani dan dihormati di peringkat global.
MCMC jumpa pengendali media sosial minggu depan bincang kaedah pengesahan identiti
Usahawan hartanah mengaku tidak bersalah dalam kes gaduh yang tular
Timor-Leste akan dianggap rakan baharu ASEAN yang berkesan, tak dipinggir: PMX
Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan AS boleh jejas kedaulatan ekonomi: Azmin
Cadangan Hari Muzik Negara akan dibawa ke Kabinet: Fahmi
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa