Mas Ermieyati Samsudin.
Mas Ermieyati Samsudin tidak akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat meskipun berdepan desakan segelintir pihak susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN semalam.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bukan untuk mempertahankan jawatan atau kepentingan peribadi, sebaliknya demi memastikan kestabilan organisasi dan kelangsungan perjuangan PN di peringkat negeri.
“Saya mengambil maklum desakan yang meminta saya berundur, namun keputusan untuk kekal adalah atas dasar tanggungjawab, kestabilan organisasi dan kepentingan PN Melaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mas Ermieyati menjelaskan hubungan kepimpinan PN Melaka, khususnya bersama Pas negeri, berada dalam keadaan baik dan harmoni tanpa sebarang konflik dalaman yang memerlukan tindakan tergesa-gesa.
“Hubungan kami baik sebelum, semasa dan selepas isu yang berlaku di negeri lain. Tidak wujud konflik dalaman di Melaka,” katanya.
Beliau turut menegaskan PN Melaka kini berada dalam fasa penting persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.
Menurutnya, kesinambungan kepimpinan amat diperlukan bagi memastikan gerak kerja jentera dan strategi berjalan lancar.
“Perubahan mendadak hanya berisiko melemahkan momentum yang sedang dibina,” ujarnya.
Mengulas dakwaan pelantikan Pengerusi PN negeri terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat, Mas Ermieyati menyifatkannya sebagai tidak tepat.
Jelas beliau, pelantikan jawatan dalam PN dibuat melalui keputusan Majlis Tertinggi gabungan itu.
“Pelantikan ini adalah keputusan bersama, bukan automatik terbatal,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa hanya kepimpinan PN Melaka menjadi sasaran kritikan sedangkan negeri lain yang ditadbir PN tidak dibangkitkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak menghentikan polemik terbuka di media sosial yang boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap PN.
“Rakyat sedang memerhati dan pertelingkahan ini hanya akan menghakis kepercayaan mereka,” katanya.
Mas Ermieyati menegaskan beliau bersedia melepaskan jawatan jika diputuskan secara bersama oleh kepimpinan tertinggi PN.
“Jika itu keputusan matang demi parti dan gabungan, saya sedia berundur,” katanya.
153 laporan polis dibuat terhadap Puad, siasatan dijalankan
Lima bilik gerakan SPRM beroperasi 24 jam sempena PRN Johor
AMK yakin anak muda nilai berdasarkan prestasi, bukan retorik Rafizi
UMNO bukan parti warisan keluarga, Asyraf tegur Puad
Dakwa universiti awam jual tempat, ADUN Jitra dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar