Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuka lima bilik gerakan khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua bilik gerakan itu akan beroperasi selama 24 jam sehari bermula hari penamaan calon pada 27 Jun sehingga hari pengundian pada 11 Julai 2026.
Menurut kenyataan itu, orang ramai boleh membuat aduan melalui Pejabat SPRM Johor di Kompleks Pejabat SPRM Johor, Tampoi, selain empat lagi bilik gerakan yang ditempatkan di cawangan Batu Pahat, Kluang, Segamat dan Mersing.
“Selain menghubungi talian telefon yang disediakan, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel rasmi bilik gerakan di [aduan.prnjohor2026@sprm.gov.my](mailto:aduan.prnjohor2026@sprm.gov.my),” menurut kenyataan itu.
SPRM turut memberi jaminan setiap maklumat yang diterima akan disiasat secara profesional, telus dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, suruhanjaya itu mengingatkan semua calon serta parti politik yang bertanding supaya mematuhi undang-undang pilihan raya dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menjurus kepada rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“SPRM mengingatkan semua calon serta parti politik yang bertanding agar tidak melakukan perbuatan yang boleh melanggar undang-undang termasuk peraturan pilihan raya, selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012),” katanya.
PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai sebelum hari pengundian penuh pada 11 Julai.
Dakwa universiti awam jual tempat, ADUN Jitra dihadapkan ke mahkamah
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar