Kes mahkamah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan awam susulan kenyataannya yang mendakwa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjual tempat kepada golongan tertentu melalui “pintu belakang”.
Haim Hilman, 53, yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam sehingga boleh mendorong seseorang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam menerusi kenyataan yang dibuat dalam satu ceramah di Markas PAS Seremban antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 13 Jun lalu.
Antara kenyataan yang dipetik dalam pertuduhan ialah dakwaan bahawa universiti awam menjual tempat kepada anak-anak daripada keluarga berada, selain mendakwa wujud “pintu belakang” bagi kemasukan ke IPTA walaupun calon tidak layak berdasarkan merit.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Harun mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Namun, peguam bela Mohd Fauzi Che Abu memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 serta membantah syarat penyerahan pasport.
“Kami bantah kerana sifat pertuduhan ini tidak serius sehingga memerlukan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah. Anak guam kami juga hadir secara sukarela untuk membersihkan namanya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Haim Hilman diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan dan menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.
Sebelum ini, Haim Hilman mendakwa kira-kira 30,000 pelajar yang layak memasuki IPTA dinafikan hak mereka akibat amalan tidak telus dan kewujudan unsur “pintu belakang”.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan menyifatkan tuduhan IPTA menjual tempat kepada individu tertentu sebagai tuduhan berat yang boleh menjejaskan reputasi serta kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara.
PRN Johor: Rundingan dengan UMNO gagal, Samsuri tandatangan watikah calon
UMNO bukan parti warisan keluarga, Asyraf tegur Puad
Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor buat laporan polis
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar