Bersatu sebelum ini memecat timbalan presiden, Hamzah Zainuddin.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin, menyatakan kesediaannya untuk berundur daripada jawatan itu sekiranya majoriti Ahli Parlimen dalam blok pembangkang tidak lagi mahu beliau meneruskan peranan tersebut.
Ahli Parlimen Larut itu akhirnya membuka mulut berhubung statusnya sejak dipecat Bersatu kerana masih tidak mempunyai parti yang disertai setakat ini dengan berkata kedudukan Ketua Pembangkang bergantung kepada sokongan majoriti wakil rakyat dalam blok pembangkang di Parlimen.
Menurutnya, prinsip itu perlu dihormati bagi memastikan institusi pembangkang terus berfungsi secara demokratik dan berkesan.
“Jika ahli Parlimen pembangkang tidak lagi mahu saya menjadi Ketua Pembangkang, saya akur kerana itu adalah suara majoriti,” katanya dipetik laporan media.
Beliau turut menegaskan kerjasama erat antara semua wakil rakyat pembangkang amat penting bagi memastikan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di Parlimen.
Kenyataan Hamzah itu hadir selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyatakan parti berkenaan bersedia mencalonkan wakilnya sebagai Ketua Pembangkang sekiranya mendapat persetujuan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen lazimnya diberikan kepada pemimpin daripada blok pembangkang yang memiliki sokongan terbesar dalam kalangan Ahli Parlimen yang tidak menyokong kerajaan.
Peranan itu penting sebagai suara utama pembangkang dalam perbahasan dasar kerajaan serta memastikan mekanisme semak dan imbang berjalan dengan berkesan.
Dalam perkembangan lain, Hamzah turut mengulas mengenai perancangan sebuah “rumah baharu” yang dikaitkan dengan penyusunan semula kerjasama politik pembangkang.
Beliau berkata beberapa perkara masih dalam proses penyesuaian sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
“Kita perlu meneliti banyak perkara termasuk penyertaan pelbagai pihak seperti wakil dari Sabah dan Sarawak serta kaum bukan Melayu,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya telah menerima ratusan ribu permohonan yang disertakan dengan nama dan nombor kad pengenalan, namun proses penelitian masih dijalankan sebelum keputusan lanjut diumumkan.
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Isu PRN Melaka: MP DAP dan Akmal bertikam lidah
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan