Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan puluhan akaun media sosial yang dipercayai menyebarkan video berunsur perkauman secara terselaras dalam tempoh 24 jam, menurut Kerajaan Perpaduan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun TikTok didapati memuat naik video sama dengan naratif serupa melibatkan dakwaan insiden antara individu India dan Melayu.
“Dalam tempoh 24 jam lalu, satu berita tular mendakwa seorang gengster India mencederakan tuan tanah Melayu dan cuba diselitkan unsur perkauman. Hampir semua hantaran menggunakan video serta ayat yang sama,” katanya pada sidang media hari ini.
Bagaimanapun, polis sebelum ini mengesahkan insiden sebenar di Kampung Sungai Jernih, berhampiran Kajang, tidak mempunyai kaitan dengan gangsterisme atau isu perkauman.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah dan laluan lori.
Fahmi menegaskan siasatan terhadap penyebaran maklumat tersebut masih berjalan.
“Sebarang cubaan mengapikan sentimen perkauman tidak akan diterima dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MCMC turut mengesan 19 akaun media sosial dipercayai palsu yang terlibat menyebarkan komen dan maklumat tidak wajar semasa siaran langsung sidang Parlimen.
Dua akaun sudah disahkan palsu, manakala siasatan terhadap baki akaun masih diteruskan.
Isu penyebaran kandungan berunsur kebencian dalam talian semakin mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya apabila media sosial menjadi platform utama perbincangan politik dan sosial.
Pihak berkuasa sebelum ini beberapa kali memberi amaran bahawa manipulasi maklumat dan kandungan perkauman boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk negara.
Kerajaan menggesa orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu dan ketegangan kaum.
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
GST belum sesuai dilaksana, kerajaan kekal SST: MOF
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib