Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berucap semasa sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2026 serta program Girls in ICT hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini di peringkat akhir memuktamadkan kod keselamatan baharu bagi membendung penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) di platform dalam talian, dengan pelaksanaannya dijangka bermula bulan depan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata kod keselamatan itu akan mewajibkan platform digital bertindak lebih pantas menyekat akses dan menurunkan kandungan berbahaya, selaras dengan kerangka Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA).
“Kita harap mendapat kerjasama lebih baik daripada platform-platform berkaitan supaya kandungan berbahaya dapat diturunkan dengan lebih pantas, sekali gus mewujudkan dunia digital yang lebih selamat untuk setiap pengguna,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2026 serta program Girls in ICT hari ini.
Menurut beliau, ancaman CSAM semakin membimbangkan apabila statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan jumlah kes meningkat mendadak kepada 152 kes tahun lalu berbanding 68 kes pada 2024.
Sejak Januari hingga kini sahaja, sebanyak 100 kes telah direkodkan.
Nie Ching berkata peningkatan penggunaan Internet dan kemunculan teknologi penjanaan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) menjadikan bahan eksploitasi seksual lebih mudah dihasilkan serta disebarkan.
Isu keselamatan digital kini menjadi antara fokus utama kerajaan ketika Malaysia menghampiri tahap penggunaan Internet menyeluruh menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Ketika ini, kadar penggunaan Internet negara mencecah 98.4 peratus bagi lelaki dan 97.6 peratus bagi wanita, selain disokong liputan rangkaian 4G dan 5G yang semakin meluas.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan kepentingan penglibatan wanita dalam bidang teknologi dan AI.
“Wanita bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi perlu menjadi arkitek kepada pembangunan teknologi masa depan,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion kini memasuki peringkat awal pelaksanaan dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Projek sepanjang 3,190 kilometer itu bakal menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah melalui rangkaian kabel dasar laut baharu bagi memperkukuh infrastruktur digital negara serta meningkatkan kapasiti sambungan Internet sedia ada.
Kerajaan kaji semula perbelanjaan susulan krisis global: Akmal Nasrullah
Anwar ajak rakyat tolak kebencian sempena Hari Wesak
Anwar umum kenaikkan Geran Interim kepada Sabah RM1.5 Bilion
Amanah Selangor bidas Liu berhubung isu ladang babi
Anwar tegas mahu Sabah, Sarawak terus maju
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi