
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC akan diadakan pada 16 November ini tanpa menjemput Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
MIC tidak akan menjemput Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi, atau mana-mana pemimpin luar yang lain untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu pada 16 November ini.
Presiden MIC, S.A. Vigneswaran, menjelaskan AGM kali ini yang hanya diadakan selama satu hari akan memfokuskan sepenuhnya kepada hal ehwal dalaman parti dan hanya akan melibatkan pewakilan parti tersebut sahaja.
“Tiada siapa akan dijemput, termasuk Zahid. AGM ini untuk perwakilan dan delegasi MIC sahaja,” kata Vigneswaran dipetik laporan media.
Beliau menegaskan tindakan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.
“Ini bukan satu perkara baru. MCA pernah mengadakan mesyuarat agung tanpa menjemput sesiapa. Maka kali ini MIC membuat ketetapan yang sama,” jelasnya.
Ditanya mengenai pendirian MIC untuk terus kekal atau keluar daripada BN, Vigneswaran memberitahu ia bakal diputuskan semasa dalam AGM nanti.
“Kalau kami nak buat keputusan sendiri, apa salahnya? Dulu kami pernah jadi kerajaan, sekarang ada pasukan baru (PH). Yang penting, kita mesti ada kerusi untuk bertanding,” katanya.
Dalam pada itu, Vigneswaran turut mempertahankan MIC dan MCA dengan menyifaktan UMNO merupakan parti yang memegang teraju utama pentadbiran negara sebelum ini.
“Ada yang masih mengkritik kegagalan kerajaan sebelum ini. Walaupun MCA dan MIC dalam gabungan BN, sebenarnya Umno yang mentadbir negara ini. Kalau nak salahkan, kena salahkan UMNO. Bukan MCA atau MIC,” ujarnya.
Ketegangan antara MIC dan UMNO memuncak baru-baru ini berikutan kenyataan-kenyataan terbuka daripada Vigneswaran terhadap Ahmad Zahid.
MIC dan MCA dilaporkan sedang menilai masa depan mereka dalam BN berikutan rasa tidak puas hati terhadap pembahagian kerusi yang didakwa memihak kepada parti tertentu.