Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng.
MCA menegaskan mereka parti yang bermaruah dan berprinsip, serta tidak akan ‘melutut’ hanya kerana mahu mendapatkan ‘mainan’ seperti didakwa oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, dengan tegas membantah kenyataan Zahid yang menggambarkan ada pemimpin MCA dan MIC yang ‘merajuk’ kerana tidak mendapat ‘mainan’.
“Pertama sekali saya ingin membetulkan, pemimpin MCA tidak pernah merajuk kerana tidak dapat ‘mainan’. Bukan MCA yang menyebut tentang ‘mainan’ tersebut,” katanya dalam dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan MCA menjunjung integriti dan prinsip politik serta tidak akan sewenang-wenangnya mengubah pendiriannya atau menggadai prinsipnya demi keuntungan sementara atau jawatan dalam Kabinet.
“Seperti kata Zahid sendiri, apabila kerajaan perpaduan ditubuhkan, MCA sudah menyatakan bahawa kami tidak akan menyertai kabinet. Pendirian MCA kekal teguh sehingga hari ini,” katanya lagi.
Teik Cheng juga mempersoalkan motif sebenar di sebalik kerjasama UMNO-DAP yang dijalinkan sekarang adakah juga disebabkan diberikan ‘mainan’.
“Kenyataan Presiden UMNO secara terbuka ini telah menimbulkan persoalan, adakah kerjasama Umno-DAP wujud sebab diberikan ‘mainan’?” soalnya.
Beliau juga menyarankan agar Zahid, yang mendakwa membuat tinjauan akar umbi MCA dan MIC, seharusnya membuat tinjauan yang sama dalam kalangan ahli UMNO sendiri untuk mengukur sokongan terhadap kerjasama dengan DAP.
“Hakikatnya DAP melawan BN selama berpuluh tahun.
“Bukan sahaja MCA, tetapi mereka juga menyerang dan menghina Umno dengan begitu dahsyat. Jika parti lain, saya tidak tahu.
“Tapi bagi MCA, kami adalah parti bermaruah, berprinsip dan tidak akan sesekali melutut hanya kerana mahu mendapatkan ‘mainan’,” katanya.
Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata terdapat segelintir pemimpin MCA dan MIC yang ‘merajuk’ apabila tidak diberikan ‘mainan’, walau bagaimanapun dakwaan itu dikatakan tidak mencerminkan sentimen sebenar akar umbi.
Bersatu bimbang mesyuarat khas MT PN berdepan risiko undang-undang
PRN Melaka: Adam Adli yakin calon baharu PKR mampu buat kejutan
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
PRN Melaka: PKR tawar 30 peratus calon wanita
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum