Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, menyeru agar undang-undang berkaitan jenayah penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) diperkukuh serta dikenakan denda yang setimpal sehingga ‘tidak tertanggung’ oleh pesalah.
Beliau menegaskan langkah penguatkuasaan semata-mata tidak memadai untuk menangani peningkatan kes yang membimbangkan ini dan usaha memerangi jenayah ini memerlukan komitmen menyeluruh termasuk meletakkan tanggungjawab kepada platform teknologi, serta melibatkan ibu bapa, pendidik dan komuniti.
“Langkah-langkah ini bukan sekadar perlu — ia adalah amat penting. Ia menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap penderaan, eksploitasi dan penghinaan terhadap kanak-kanak,” tegas Syerleena dalam satu kenyataan.
Syerleena turut menyentuh mengenai kejayaan Op Pedo 2.0 yang mendedahkan satu jaringan eksploitasi digital yang luas, dengan penangkapan 31 suspek termasuk kanak-kanak seawal 12 tahun.
Lebih membimbangkan, seorang suspek berusia 17 tahun dilaporkan memperoleh keuntungan haram sebanyak RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025.
“Ini bukan kes terpencil, tetapi gejala betapa seriusnya kejahatan ini telah berkembang: daripada perbuatan menyimpang secara individu menjadi satu industri gelap berasaskan keuntungan,” ujarnya.
Operasi yang dijalankan di beberapa negeri itu telah merampas lebih 880,000 fail digital CSAM, menunjukkan peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0.
Syerleena turut memuji kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas koordinasi dan kejayaan besar baru-baru ini menumpaskan jenayah tersebut.
“Tindakan tegas seperti ini mencerminkan kewaspadaan dan komitmen tinggi agensi penguatkuasa negara,” katanya.
Beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk tidak memandang remeh dan bersama-sama memikul tanggungjawab.
“Kita semua mesti menjadi penjaga terhadap pemangsa digital — bersedia untuk bertindak, melapor, mendidik dan melindungi. Apabila kehilangan nilai murni menjadikan kanak-kanak sebagai komoditi, maka tamadun itu sendiri sedang hancur,” tegasnya lagi.
Najib tidak pernah arah pindah wang RM2.08 bilion ke akaun sendiri, kata pembelaan
Mesyuarat dua hala Anwar dengan PM China bincang kerjasama perdagangan, kestabilan serantau
Perjanjian dimerterai semasa sidang ASEAN bukan sekadar atas kertas: PMX
Usahawan hartanah mengaku tidak bersalah dalam kes gaduh yang tular
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa