Najib Razak.
Pembelaan Najib Razak hari ini menegaskan bekas Perdana Menteri itu tidak pernah mengarahkan sejumlah RM2.08 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, bagi menafikan asas pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Peguamnya, Tania Scivetti, berhujah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan Najib sendiri mengarahkan AmIslamic Bank untuk menukar dua kiriman wang dalam dolar Amerika kepada ringgit Malaysia.
“Keterangan daripada saksi pendakwaan, Joanna Yu, sendiri membuktikan bahawa Datuk Seri Najib tidak terlibat secara langsung dalam proses penukaran mata wang tersebut,” kata peguam bela Najib itu.
Menurut Tania, tiada sebarang komunikasi langsung antara Joanna dengan Najib berhubung penukaran AS$681 juta itu.
Sebaliknya, beliau menyatakan Joanna bertindak berdasarkan arahan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas akaun Najib.
Hujah ini disokong oleh keterangan Najib sendiri yang mendakwa tidak pernah memberi kuasa kepada Jho Low mahupun bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil, untuk melaksanakan sebarang urusan penukaran wang asing.
“Keterangan ini adalah konsisten dengan surat mandat yang memerlukan kelulusan peribadi Najib untuk transaksi sedemikian,” ujar Tania.
Beliau juga membangkitkan amalan perbankan yang mewajibkan dokumentasi bagi setiap arahan transaksi, terutamanya melibatkan individu berpengaruh seperti Perdana Menteri.
“Namun, pihak pendakwaan gagal menghasilkan sebarang rekod kontemporari yang membuktikan arahan tersebut diberikan oleh Najib,” ujarnya.
“Tanpa bukti kukuh bahawa arahan itu datang daripada beliau, kesemua sembilan pertuduhan pengubahan wang haram ini gagal dibuktikan melampaui keraguan munasabah,” tambahnya lagi.
Najib sedang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan pada sebelah petang.
MCMC siasat hantaran 3R hina Tuanku Muhriz
Isu eFishery: KWAP masih kukuh, Tengku Zafrul sifatkan dakwaan bankrap sebagai ‘auta’
NADI sasar jadi pusat lahirkan pakar AI luar bandar: MCMC
Kementerian kurangkan latihan di hotel ambil langkah berhemah berbelanja: Fahmi
eFishery: Keputusan pelaburan KWAP dibuat panel profesional
[VIDEO] Aminuddin akui laluan tak mudah, sanggup berlari untuk tawan DUN Linggi, kubu kuat BN
[VIDEO] Hari penamaan calon PRN N9 di Linggi, Lukut, Chuah, Sri Tanjung dan Bagan Pinang