Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron.
Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan terhadap usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkukuh larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar asing di stesen minyak seluruh negara.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata langkah itu penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang disediakan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak.
Menurutnya, subsidi bahan api merupakan antara komitmen fiskal terbesar kerajaan dan perlu dilindungi demi keadilan sosial serta kebajikan pengguna tempatan.
“MPPN melihat usaha ini sebagai satu langkah tepat pada masanya untuk mengekang ketirisan subsidi dan memastikan wang rakyat digunakan untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali bahawa peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Peraturan 12A hanya membolehkan tindakan diambil terhadap pengusaha stesen minyak yang menjual RON95 kepada kenderaan asing, namun tidak melibatkan tindakan terhadap pembeli.
Sehubungan itu, cadangan untuk memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang merangkumi larangan terhadap kedua-dua penjualan dan pembelian, dilihat mampu memperkukuh penguatkuasaan serta menutup ruang kelemahan undang-undang sedia ada.
“Tanpa kawalan yang jelas dan menyeluruh, subsidi boleh bocor, disalah guna dan akhirnya membebankan kedudukan kewangan negara. Kesan akhirnya tetap dirasai oleh pengguna tempatan,” kata Mohd Khair.
Untuk rekod, petrol RON95 disubsidi kerajaan bagi memastikan kos sara hidup rakyat kekal terkawal, khususnya dalam keadaan tekanan ekonomi global dan kenaikan harga barangan.
Namun, isu pembelian oleh kenderaan asing sering dibangkitkan kerana ia dilihat menjejaskan matlamat asal pemberian subsidi.
MPPN menegaskan komitmennya untuk terus menyokong dasar yang melindungi hak pengguna, memperkukuh tadbir urus subsidi dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Majlis itu turut menggesa pengusaha stesen minyak serta orang ramai agar memberi kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan berjalan lancar demi kepentingan negara.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib