Najib Razak.
Kerajaan digesa memberikan penjelasan terperinci mengenai peraturan dan sekatan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, sepanjang menjalani tahanan rumah bagi memastikan pelaksanaannya mempunyai asas undang-undang yang jelas.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, masih terdapat persoalan mengenai mekanisme pelaksanaan tahanan rumah, termasuk sama ada ia mempunyai peraturan khusus seperti hukuman penjara atau membolehkan individu terbabit bergerak bebas.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui bentuk sekatan yang dikenakan, khususnya berkaitan pergerakan fizikal dan kebebasan individu sepanjang menjalani hukuman berkenaan.
“Kita pernah keluarkan kenyataan dulu yang kita tak faham apa maksud tahanan di rumah. Adakah dia macam peraturan-peraturan di penjara?
“Setakat yang saya ingat, belum ada lagi undang-undang khas yang menentukan peraturan tentang tahanan rumah ini. Dia bebas boleh buat apa dia suka atau terhad? Ada sekatan-sekatan dari segi fizikal dan juga cara-cara dia dikatakan ditahan di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program menyantuni rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, dalam Parlimen Tangga Batu, hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengeluarkan penjelasan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada supaya pelaksanaan tahanan rumah tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sekiranya negara masih belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah, kerajaan perlu mengambil langkah menggubal peruntukan berkenaan dan membawanya ke Parlimen.
“Kalau perlu ada undang-undang khas, patut undang-undang itu digubal dan dibawa ke Parlimen. Tetapi sementara ini, saya tak tahu apa asas peraturan yang digunakan untuk membolehkan tahanan rumah itu dilaksanakan,” katanya.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Najib dilaporkan selesai membayar denda RM50 juta yang dikenakan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Najib sebelum ini menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, yang membolehkannya menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Mahkamah Persekutuan kemudian menolak rayuan terakhirnya pada 23 Ogos 2022, sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan sebelum beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang.
PRN Melaka: Abang Long akan jalan 10km dekati pengundi Duyong
Manifesto BN-PN: Air percuma, rumah mampu milik jadi taruhan di Melaka
UMNO bayar denda Najib boleh beri gambaran salah kepada rakyat: PMX
PRN Melaka: Isu kemudahan asas Machap Jaya jadi fokus Ginie jika menang
UMNO tutup kutipan derma Najib, selesai pembayaran di mahkamah pagi ini
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum