Najib dilaporkan kembali ke Penjara Kajang.
Bekas perdana menteri, Najib Razak kembali ke Penjara Kajang kira-kira pukul 7.15 malam tadi selepas pelaksanaan tahanan rumah terhadapnya ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak yang membawa Najib dilihat memasuki kawasan penjara berkenaan dengan diiringi beberapa kenderaan pengiring.
Terdahulu, kenderaan sama membawa Najib keluar dari Penjara Kajang kira-kira pukul 2.37 petang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijangka dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi meneruskan baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Bagaimanapun, rancangan itu tertangguh selepas AGC memutuskan pelaksanaan tahanan rumah perlu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.
AGC dalam kenyataannya memaklumkan terdapat dua kemungkinan tafsiran undang-undang berhubung kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
“Status penahanan Najib dalam tempoh tersebut hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Tafsiran pertama melihat pembayaran RM50 juta hanya menyelesaikan komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028. Dalam keadaan itu, tahanan rumah dianggap sebagai kaedah alternatif untuk menjalani baki hukuman.
Tafsiran kedua pula melihat pembayaran denda berkenaan sebagai syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya sehingga keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk penjara, dianggap selesai.
Isu itu turut berkait dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 6 November 2026, dikenali sebagai *Order of Discharge on Payment of Fine*, yang dikeluarkan selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan.
Perintah berkenaan mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menetapkan baki hukuman perlu dijalani menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
AGC turut memaklumkan perkara itu mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan hukuman berkenaan bermula selepas selesai hukuman bagi kes SRC International.
Terdahulu, Najib selesai membayar denda RM50 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tengah hari tadi. Pembayaran itu merupakan antara syarat dalam pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukumannya dijalani menerusi tahanan rumah.
Peguamnya, Muhammad Farhan Shafee turut dilihat tiba di Penjara Kajang kira-kira pukul 2.15 petang bagi menguruskan proses berkaitan perintah berkenaan.
Untuk rekod, Najib, 73, mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Perkembangan terbaharu ini menyaksikan pelaksanaan tahanan rumah yang dinantikan tertangguh sehingga persoalan undang-undang berkaitan tafsiran perintah pengampunan dan kesan pembayaran denda itu diperjelaskan.
PRN Melaka: Abang Long akan jalan 10km dekati pengundi Duyong
Manifesto BN-PN: Air percuma, rumah mampu milik jadi taruhan di Melaka
Tiada kerjasama rasmi Bersatu-PH, sokongan tetap dialu-alukan: Muhyiddin
PRN Melaka: Isu kemudahan asas Machap Jaya jadi fokus Ginie jika menang
UMNO tutup kutipan derma Najib, selesai pembayaran di mahkamah pagi ini
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum